JEMPOL – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G Manivanan menyifatkan alasan calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi berkenaan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menolak cabaran debat hanya kerana tidak mahu ‘terperangkap’ sebagai tidak berasas.
Beliau berkata, debat bukan medan untuk memerangkap mana-mana calon, sebaliknya satu platform demokrasi bagi membolehkan rakyat menilai kemampuan, rekod prestasi serta tawaran yang dibawa setiap calon bertanding.
Menurutnya, Mohd Zaidy sebagai penyandang yang telah berkhidmat selama tiga tahun seharusnya bersedia berdepan dengan cabaran debat sekiranya yakin dengan pencapaian sepanjang tempoh memegang amanah sebagai wakil rakyat.
“Dalam sistem demokrasi, pilihan raya ni perlu ada elemen atau segmen yang berkaitan dengan debat. Sebab debat ini adalah berkaitan tentang apa yang kita mampu lakukan dan apa yang kita telah lakukan. Beliau adalah penyandang selama tiga tahun. Saya bukan penyandang wakil rakyat dan sebagainya di sini, saya bukan Yang Berhormat di sini.
“Mungkin saya ada pengalaman, tetapi beliau adalah penyandang. Seharusnya beliau boleh orang kata dengan senang untuk melawan dengan sayalah kan, sebab dia sebagai (Ahli Dewan Undangan Negeri) tiga tahun. Kalau dia tak boleh buat kerja dan dia tak pernah buat kerja, memang dia tak boleh lawan dengan sayalah. Jadi ini bukan isu terperangkap,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Terdahulu, Mohd Zaidy menolak cabaran berdebat Manivannan, atas alasan ‘tidak mahu terperangkap’, selain mendakwa ajakan oleh Manivanan sebagai satu perkara mencari kesalahan, menghina dan mengutuk.
Mengulas lanjut, Manivanan berkata, debat adalah perkara yang sihat dalam sistem demokrasi kerana ia memberi peluang kepada calon menjelaskan manifesto, agenda serta perkara yang mampu dilakukan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.
Sebagai seorang wakil rakyat, beliau berpandangan, Mohd Zaidy seharusnya berani mempertahankan rekodnya secara terbuka kepada rakyat, termasuk melalui sesi debat.
“Saya rasa debat ni adalah benda yang sihat dalam kempen pilihan raya. Bagaimana kita menggunakan untuk menyampaikan mesej kita, manifesto kita, agenda kita kepada rakyat untuk menilai siapa yang terbaik. Malang sekali, dia bukan isu terperangkap. Kalau isu terperangkap yang dimainkan, tak apa lah. Saya mohon calon Barisan Nasional pilih tempat, pilih masa, pilih lokasi, pilihlah cara dia, saya tetap boleh datang.
“Mana boleh perangkap? You go back to your own ground lah. Mana dia rasa dia kuat, mana dia rasa dia hebat, buat kat sana. Saya turun. Perangkap apa pulak kan? Tak ada perangkapnya. Alasan terperangkap ni bukan seharusnya datang daripada seorang wakil rakyat yang telah berkhidmat selama tiga tahun,” katanya.






