
PUTRAJAYA – Kerajaan sedang meneliti cadangan membolehkan kredit Sumbangan Asas Rahmah (SARA) digunakan menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di pasar tamu dan pasar tani.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata, pelaksanaan kaedah berkenaan masih dalam peringkat kajian dan penelitian bagi memastikan ia berdaya tahan serta mampan sebelum diputuskan.
“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di pasar tamu atau pasar tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja,” menurut kenyataan itu.
Jika cadangan itu didapati mampan, pengumumannya dijangka dibuat menerusi Belanjawan 2027.
MoF berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Negara yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Isnin.
Jawapan itu bagi menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai cadangan memperluas skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberi manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.
Dalam pada itu, MoF memaklumkan kerajaan terus memperluas penyertaan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA dengan jumlahnya kini melebihi 6,000 premis.
Secara keseluruhan, jumlah Rakan Niaga SARA di seluruh negara mencecah lebih 13,700 kedai setakat 15 Julai 2026, berbanding hanya 700 kedai pada 2024.
Selain itu, kira-kira 140,000 produk atau barangan kini boleh dibeli menggunakan kemudahan SARA.







