
SANDAKAN – Gerakan Nasional Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) diyakini mampu menjadi pemangkin kepada usaha mengangkat produk dan jenama keluaran Sabah ke persada antarabangsa, selaras dengan aspirasi ‘local to global’ yang menjadi antara fokus Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Ketua Menteri, Datuk Panglima Hajiji Noor berkata, aspirasi yang dibawa menerusi JOM MALAYSIA amat bertepatan dengan agenda pembangunan ekonomi negeri yang menekankan pertumbuhan mampan, inklusif dan berdaya saing melalui pemerkasaan usahawan tempatan serta peluasan akses pasaran.
“JOM MALAYSIA bukan sekadar festival jualan atau platform promosi produk tempatan, sebaliknya satu gerakan strategik yang menghubungkan usahawan, kerajaan, pemain industri, institusi kewangan dan pengguna dalam membina ekosistem keusahawanan yang lebih kukuh.
“SMJ 2.0 dan JOM MALAYSIA berkongsi matlamat yang sama iaitu memperkasa usahawan tempatan, meningkatkan nilai tambah produk dan perkhidmatan serta memperluaskan akses pasaran demi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.
“Sinergi ini akan membina rantaian pembangunan yang lengkap, bermula daripada pemerkasaan usahawan, pembangunan produk sehingga kepada peluasan pasaran, selaras dengan aspirasi ‘local to global’,” katanya ketika merasmikan Festival JOM MALAYSIA 2026 di
Kompleks Sukan Sandakan, di sini pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Negeri, Datuk Ewon Benedick.
Hajiji berkata, pemilihan Sabah sebagai antara lokasi penganjuran festival berkenaan merupakan pengiktirafan terhadap kekuatan ekonomi negeri serta keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap potensi Sabah sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi di Malaysia Timur.
Beliau berkata, Sabah bukan sahaja kaya dengan kepelbagaian budaya, warisan dan hasil bumi, malah memiliki komuniti usahawan yang semakin berkembang dengan pelbagai produk beridentiti tempatan yang mempunyai nilai komersial tinggi, termasuk makanan, kraftangan, fesyen serta produk kreatif dan inovasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurutnya, dengan jumlah penduduk dianggarkan seramai 3.8 juta orang pada tahun lalu serta Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM88.8 bilion yang mencatat pertumbuhan 5.1 peratus, Sabah kini muncul sebagai antara pasaran pengguna terbesar dan paling dinamik di Malaysia Timur.
Mengulas potensi produk Sabah di pasaran antarabangsa, Hajiji berkata pencapaian yang direkodkan usahawan tempatan sepanjang tahun lalu membuktikan kemampuan produk negeri ini untuk bersaing di peringkat global.
Beliau berkata, seramai 124 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah menyertai 18 ekspo perdagangan antarabangsa pada 2025 dan berjaya merekodkan potensi jualan bernilai
RM95.9 juta, meningkat 37.12 peratus berbanding RM60.4 juta pada tahun sebelumnya.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa produk keluaran Sabah mempunyai kualiti, keunikan dan daya saing untuk menembusi pasaran global. Sebab itu JOM MALAYSIA perlu dilihat sebagai platform yang mampu membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk berkembang dan mengembangkan pasaran mereka,” katanya.
Bagi memperkukuh lagi ekosistem keusahawanan negeri, beliau berkata kerajaan Sabah melalui SMJ 2.0 melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Program Bantuan SME-UP yang diterajui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) dengan peruntukan RM15 juta bagi membangunkan 600 PMKS.
Selain itu, Program Sabah Ready-to-Eat (RTE) turut diperkenalkan bagi membantu
mengkomersialkan produk makanan tempatan menerusi penyediaan geran pembangunan, bantuan mesin retort dan sokongan pensijilan halal untuk meningkatkan kebolehpasaran produk.
Menurut Hajiji, kedua-dua inisiatif berkenaan saling melengkapi dengan aspirasi JOM MALAYSIA dalam membangunkan usahawan yang berdaya saing serta produk yang bersedia untuk dipasarkan di peringkat domestik dan antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau berkata sektor pelancongan turut memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi local to global, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Sabah Year 2027.
Katanya, Sabah merekodkan 3.79 juta ketibaan pelawat dengan hasil pelancongan berjumlah RM8.74 bilion pada tahun lalu, sekali gus menunjukkan potensi besar sektor itu sebagai pemangkin kepada promosi produk dan perkhidmatan tempatan.
“Setiap festival, ekspo dan program promosi bukan sekadar menggalakkan pembelian produk tempatan, malah menjadi ruang untuk memperkenalkan identiti Sabah kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
“Apabila pelancong menikmati makanan tempatan, membeli kraftangan, menggunakan perkhidmatan atau membawa pulang produk keluaran Sabah, mereka sebenarnya menjadi duta yang memperkenalkan jenama Sabah ke persada antarabangsa. Inilah aspirasi sebenar ‘local to global’ yang ingin kita capai bersama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama kerajaan negeri mempertimbangkan penganjuran JOM MALAYSIA di lebih banyak destinasi strategik di Sabah sempena Visit Sabah Year 2027 bagi memperluaskan capaian program kepada usahawan tempatan serta memperkukuh promosi produk Sabah kepada pelancong domestik dan antarabangsa.







