
MIRI – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Miri mengambil inisiatif mengedarkan bendera Sarawak kepada orang awam di sekitar Marina dan Coco Cabana untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Sarawak.
Langkah proaktif itu bertujuan memupuk semangat patriotisme serta rasa cinta terhadap wilayah ini dalam kalangan masyarakat setempat.
Ketua AMK Miri, Christopher Jemat Amie berkata, program tersebut merupakan antara usaha pihaknya bagi menghidupkan kemeriahan sambutan.
Menurutnya, ia juga bertindak sebagai seruan untuk menggalakkan masyarakat menghayati nilai perpaduan dan semangat kebersamaan.
Beliau menegaskan, sambutan yang diraikan pada 22 Julai itu bukan sekadar memperingati detik bersejarah, malah menjadi lambang identiti serta jati diri rakyat yang perlu terus dipelihara.
“Golongan muda memainkan peranan penting dalam memastikan semangat cintakan Sarawak terus dipupuk dan diwarisi oleh generasi akan datang.
“Justeru, AMK Miri akan terus melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan yang mampu menyatukan rakyat serta meningkatkan semangat patriotisme,” katanya.
Mengulas lanjut, Christopher memberitahu, penyertaan ahli dan sukarelawan AMK dalam program itu mencerminkan komitmen belia untuk terus mendekati rakyat.
Jelasnya, penglibatan aktif anak muda bukan sahaja dapat memperkukuh silaturahim, malah membentuk generasi yang bertanggungjawab.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat agar terus mengibarkan bendera Sarawak sebagai simbol kebanggaan terhadap keharmonian dan kemajuan dikecapi ketika ini.
Untuk rekod, Hari Sarawak disambut pada 22 Julai setiap tahun bagi memperingati tarikh Sarawak mencapai pemerintahan sendiri pada tahun 1963, sebelum pembentukan Malaysia.






