
KOTA KINABALU – Jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) miskin yang menerima bantuan bulanan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) sebanyak RM200 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai dan Parlimen Kalabakan meningkat pada 2026 berbanding tahun sebelumnya.
Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata, bagi DUN Merotai, jumlah penerima meningkat daripada 993 KIR pada 2025 kepada 1,624 KIR pada 2026.
“Bagi Parlimen Kalabakan pula, jumlah penerima bertambah daripada 3,254 KIR pada 2025 kepada 5,263 KIR pada 2026,” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada ADUN Merotai, Sarifuddin Hatta, pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 di sini, pada Khamis.
Tambah Ceasar, Program SYUKUR kini memasuki fasa kedua pelaksanaannya dengan melibatkan seramai 140,000 penerima di seluruh Sabah pada tahun ini.
“Kerajaan Negeri kekal komited memperkukuh pelaksanaan Program SYUKUR serta pelbagai inisiatif di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sebagai usaha berterusan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.




