
SEREMBAN – Kerajaan akan meningkatkan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam masa terdekat sebagai langkah memperkukuh bantuan kepada rakyat yang berdepan peningkatan kos sara hidup, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira maklum balas serta keluhan rakyat walaupun pelbagai inisiatif bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA telah dilaksanakan.
“Walaupun kita beri STR dan SARA, malah di Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun turut memberikan bonus yang tinggi kepada penjawat awam, adakah semua masalah selesai? Belum.
“Sebab itu kita mendengar rintihan rakyat dan insya-Allah dalam masa terdekat, kerajaan akan menaikkan lagi kadar SARA untuk manfaat rakyat,” katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah Kekal Harapan di Senawang sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, malam tadi.
Anwar berkata, Kerajaan MADANI komited memastikan bantuan bersasar terus diperkasakan supaya golongan yang memerlukan mendapat perlindungan sewajarnya dalam menghadapi tekanan kos kehidupan.
Sebelum ini, beliau memaklumkan kerajaan sedang memperhalusi cadangan untuk meningkatkan kadar bantuan di bawah STR dan SARA sekiranya kedudukan kewangan serta prestasi ekonomi negara terus kukuh.
Menurutnya, perkara itu telah dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, dan akan dipertimbangkan dalam penyediaan Belanjawan 2027.




