SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan bukan sekadar mengemukakan janji menerusi manifesto pilihan raya, sebaliknya membuktikan keupayaan melaksanakan perkara yang dijanjikan demi kepentingan rakyat.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, antara pencapaian kerajaan negeri ialah pelaksanaan penukaran status tanah kediaman daripada pajakan (leasehold) kepada hak milik kekal (freehold), yang memberi manfaat kepada pemilik rumah pelbagai kaum.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan dilaksanakan ketika PH menerajui kerajaan negeri dan mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan.
“Manifesto yang kita buat pada 2018 bukan sekadar janji, tetapi kita laksanakan sehingga hari ini. Antaranya ialah menukar status tanah daripada leasehold kepada freehold.
“Inilah satu-satunya negeri yang melaksanakan penukaran ini. Kita mahu rakyat yang tinggal di rumah kecil, rumah mampu milik termasuk rumah berukuran 20 kaki kali 60 kaki dan 20 kaki kali 70 kaki mendapat manfaat daripada tanah berstatus freehold,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, di sini, pada Rabu.
Aminuddin berkata, pelaksanaan dasar itu membuktikan kerajaan negeri tidak membezakan rakyat berdasarkan kaum kerana manfaatnya turut dinikmati masyarakat Melayu, Cina dan India.
Katanya, walaupun terdapat dakwaan tertentu terhadap pentadbiran negeri, perkara utama yang diperjuangkan adalah memastikan kepentingan rakyat terus terbela.
“Mereka boleh kata apa sahaja, tetapi apa yang kita lakukan adalah memastikan semua rakyat mendapat manfaat. Bukan hanya Melayu, Cina atau India, tetapi semua rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap pembangunan kemudahan agama termasuk pembinaan masjid menerusi kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, beberapa projek pembinaan masjid mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan, selain kerajaan negeri turut menambah peruntukan bagi memastikan pembangunan berkenaan dapat dilaksanakan.
“Kita mohon kepada Perdana Menteri ketika itu untuk membina beberapa masjid dan kita mendapat kelulusan bagi empat buah masjid. Kerajaan negeri turut menambah peruntukan untuk pembangunan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi tumpuan terhadap pembangunan institusi pendidikan termasuk sekolah agama dan kompleks agama bagi memenuhi keperluan masyarakat.
Menurutnya, pilihan raya kali ini penting dalam menentukan kesinambungan sebuah kerajaan yang stabil selepas rakyat melalui pengalaman pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.
“Pilihan raya kali ini bukan mudah. Ia menentukan sebuah kerajaan yang stabil. Kita sudah buktikan kemampuan kita sebelum ini dan rakyat sendiri dapat melihat apa yang telah kita laksanakan,” katanya.






