KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa Kerajaan MADANI ‘menjarah’ Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) untuk membayar hutang kerajaan adalah tidak benar dan mengelirukan.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri,Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan di bawah Akta KWAP, dana berkenaan diwujudkan khusus untuk diurus dan dilaburkan bagi membantu kerajaan membiayai pencen, ganjaran serta faedah persaraan penjawat awam.
“Justeru, ia bukannya untuk membiayai projek tertentu atau menyelamatkan syarikat bermasalah.
“Kalau ada yang menggunakan KWAP untuk tujuan selain yang dibenarkan oleh akta, itu adalah satu kesalahan di sisi undang-undang,” katanya menerusi satu video di Facebook pada Selasa.
Mengulas dakwaan bahawa KWAP kini menjadi ‘ATM kerajaan’, Tengku Zafrul menjelaskan pengeluaran daripada dana itu hanya bermula pada 2018 selepas tempoh pengumpulan dana, sedangkan sebelum itu keseluruhan bayaran pencen ditanggung terus melalui Belanjawan Persekutuan.
Katanya, amalan menggunakan dana KWAP bagi membantu pembayaran pencen diteruskan di bawah pentadbiran kerajaan selepas itu termasuk ketika era Perikatan Nasional, pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kini Kerajaan MADANI.
“Ini bukan amalan yang bermula di bawah Kerajaan MADANI. Setiap pengeluaran dibentangkan dalam belanjawan dan diaudit oleh Ketua Audit Negara,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa KWAP hanya menampung sebahagian kecil daripada keseluruhan kos pencen kerajaan.
Menurutnya, antara 2018 hingga 2025, jumlah kos persaraan kerajaan mencecah kira-kira RM247.6 bilion, namun KWAP hanya menyumbang RM29.5 bilion atau sekitar 12 peratus, manakala lebih 88 peratus lagi dibiayai melalui belanjawan kerajaan.
Tambah beliau, pembayaran pencen juga dijamin di bawah Perkara 98 Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan tetap bertanggungjawab melunaskannya tanpa mengira prestasi pelaburan KWAP.
Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata prestasi KWAP terus menunjukkan pertumbuhan yang kukuh apabila mencatat pulangan pelaburan sebanyak 12 peratus pada 2024, iaitu yang tertinggi sejak penubuhannya.
Beliau berkata, walaupun RM5 bilion disalurkan bagi membantu pembayaran pencen, saiz dana KWAP tetap meningkat kepada RM185.6 bilion pada 2024 sebelum berkembang lagi kepada RM195.26 bilion pada 2025.
Sehubungan itu, beliau menegaskan dakwaan bahawa dana KWAP semakin susut atau ‘dijarah’ adalah tidak berasas kerana dana persaraan itu terus berkembang seiring dengan mandat yang ditetapkan di bawah undang-undang.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa ketika tiada pengeluaran dibuat daripada KWAP sebelum 2018, dana itu pernah memberi pinjaman RM4 bilion kepada SRC International, syarikat yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, sebelum akhirnya kerugian tersebut terpaksa ditanggung kerajaan.
“Bila SRC gagal bayar, siapa yang tanggung RM4 bilion itu? Rakyatlah yang kena tanggung.
“Adakah kita perlu pantau cara wang KWAP digunakan? Jawapannya sudah tentu setiap pengeluaran mesti telus tetapi bayar pencen mengikut tujuan undang-undang.
“Itu bukan penjarahan. Jadi apabila orang kata KWAP dijarah, ada dua kemungkinan, sama ada dia tak faham bagaimana KWAP berfungsi atau dia memang sengaja nak takutkan rakyat,” katanya lagi.







