
SIBU – Usaha mengenal pasti keseluruhan impak ribut yang melanda Sibu Jaya kini menjadi keutamaan kerajaan bagi menyalurkan bantuan tepat mengikut keperluan mangsa yang terjejas.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pegawai agensi berkaitan diarahkan turun padang untuk menilai tahap kerosakan kediaman dan bangunan di kawasan tersebut.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong menjelaskan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut diminta menggunakan dron bagi mendapatkan gambaran menyeluruh.
“Mungkin ada rumah yang bumbungnya tercabut sedikit tetapi pemilik belum sedar. Bila hujan nanti baru mereka tahu.
“Sebab itu saya minta APM membuat tinjauan menggunakan dron supaya saya mendapat laporan penuh berkenaan keadaan sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Komuniti Sibu Jaya pada Ahad.
Menyentuh berkenaan kemudahan awam yang terjejas, Tiong berkata, pihaknya akan berbincang dengan pemaju, AmCorp Properties bagi kerjasama membina semula Rumah Asap.
Menurutnya, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) juga akan menyediakan khemah khas sebagai kemudahan sementara untuk kegunaan penduduk setempat.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kerja menaik taraf dan membaik pulih Balai Bomba Sibu Jaya yang dilanda ribut akan bermula dalam masa terdekat.
“Proses ini akan digerakkan sebaik sahaja peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) disalurkan sepenuhnya,” jelas beliau.
Bagi kerosakan yang melibatkan rumah persendirian, Tiong menjelaskan bahawa sebarang tuntutan bergantung kepada hasil rundingan antara pemilik kediaman dengan pihak pemaju.
Terdahulu, beliau bersama rombongan meninjau beberapa kediaman serta kemudahan awam yang rosak teruk bagi melihat sendiri kesan bencana tersebut.






