
IPOH – Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga RON95 dan BUDI Diesel pada kadar semasa bagi memastikan rakyat terus menikmati subsidi bahan api tanpa membebankan kedudukan kewangan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti implikasi kewangan sekiranya harga bahan api diturunkan lagi, memerlukan tambahan subsidi antara RM50 bilion hingga RM60 bilion setahun berbanding kira-kira RM40 bilion yang ditanggung ketika ini.
Menurutnya, kerajaan memilih untuk mengekalkan harga sedia ada kerana ia merupakan pendekatan paling seimbang dalam melindungi kebajikan rakyat sambil memastikan pengurusan fiskal negara kekal mampan.
“Ramai kata harga minyak boleh diturunkan lagi. Memang boleh, tetapi kalau turun lagi kita kena tambah bantuan daripada RM40 bilion kepada RM50 bilion atau RM60 bilion.
“Jadi kita perlu melihat apa yang benar-benar diperlukan kerana ia melibatkan beban kewangan negara yang sangat besar,” katanya ketika berucap di Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Negeri Perak 2026 di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Ummah, Chemor, pada Ahad.

Anwar berkata, kerajaan kini berdepan cabaran mengurus kewangan negara dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, termasuk kesan konflik geopolitik yang menjejaskan rantaian perdagangan dunia.
Katanya, peperangan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) turut menyumbang kepada kenaikan harga minyak, gas, baja dan fosfat di pasaran antarabangsa, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap perbelanjaan kerajaan.
Beliau berkata, selain mengekalkan subsidi bahan api, kerajaan turut meneruskan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan tambahan peruntukan RM15 bilion.
Malah, katanya, kerajaan juga melaksanakan pelarasan gaji penjawat awam yang tertinggi dalam sejarah selepas kumpulan itu tidak menikmati kenaikan gaji selama 12 tahun.
“Saya memilih untuk mengurangkan beban rakyat, khususnya golongan miskin, petani, nelayan, pemandu teksi, pengangkutan awam dan juga kos utiliti sekolah.
“Sebab itu saya harap masyarakat, termasuk guru-guru pondok dan sekolah agama, memahami cabaran yang dihadapi kerajaan dan tidak mudah terpengaruh dengan sentimen yang mendakwa kerajaan tidak membantu rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan, setiap keputusan kerajaan dibuat berasaskan prinsip Malaysia MADANI dengan mengimbangi keperluan membantu rakyat serta memastikan ekonomi negara terus berkembang secara mampan.





