
IPOH – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi memperkukuh pembangunan sekolah pondok dan institusi pendidikan Islam di Perak, selain meluluskan peruntukan khas RM300,000 kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Ummah, Chemor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu akan disalurkan kepada institusi yang masih memerlukan sokongan bagi menaik taraf kemudahan pembelajaran serta memperkasakan sistem pendidikan Islam.
Menurutnya, kerajaan komited memastikan institusi pendidikan Islam seperti sekolah pondok, maahad dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) terus relevan dalam melahirkan generasi yang menguasai ilmu agama, di samping memiliki kecekapan dalam bidang teknologi dan inovasi.
Beliau berkata, usaha itu turut dilaksanakan menerusi transformasi digital institusi pendidikan Islam bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam menguasai teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI).
“Kita akan terus meningkatkan dan memartabatkan sekolah agama serta sekolah pondok di seluruh negara. Transformasi digital akan diperkasakan supaya teknologi baharu dapat diperkenalkan dan anak-anak lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Saya bangga kerana institusi pondok hari ini bukan sahaja mempertahankan tradisi pengajian Islam dan kitab turath, malah mula meneroka bidang baharu seperti komputer serta AI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Negeri Perak 2026 di SABK Maahad Al-Ummah, Chemor, pada Ahad.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Dr Zulkifli Hassan.
Anwar berkata, institusi pondok dan sekolah agama telah memainkan peranan besar dalam mempertahankan akidah, ilmu serta jati diri umat Islam sejak zaman penjajahan dan perlu terus diperkasakan seiring pembangunan negara.
Katanya, aspirasi Malaysia bukan sekadar menjadi negara maju dalam bidang AI, teknologi maklumat dan peralihan tenaga, tetapi membina sebuah Negara Madani yang mengekalkan nilai, akhlak dan jati diri.
“Justeru, institusi pondok dan maahad perlu terus diperkasakan kerana menjadi benteng mempertahankan ilmu, akidah dan akhlak umat Islam,” katanya.




