SEREMBAN – Terdapat bantahan dalaman di kalangan pimpinan dan akar umbi UMNO bahagian di Negeri Sembilan selepas Barisan Nasional (BN) menyerahkan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi Perikatan Nasional (PN).
Sumber pimpinan UMNO Negeri Sembilan memaklumkan, majoriti tidak bersetuju serta berpuas hati apabila kepimpinan tertinggi parti mengambil keputusan gelojoh bersama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Beliau berpandangan, imej BN juga sudah tercalar selepas strategi tersebut terbukti bahawa UMNO sudah terpesong daripada ‘kiblat asal’ yang sebelum ini mengumumkan hasrat bergerak solo pada PRN Negeri Sembilan kali ini.
“Kalau dilihat momentum rakyat mahu kita bergerak solo tapi apabila ada sudah keputusan mahu bersama kita, khususnya Wawasan parti yang baharu sahaja muncul adalah sesuatu tindakan tidak munasabah.
“Menyerahkan beberapa kerusi DUN kepada Wawasan memang cari pasal, pengundi di sini akan tolak BN habis-habisan disebabkan Wawasan. Ia ibarat tuan badan makan perangkap sendidi sedangkan tuah UMNO sudah ada,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Dalam pada itu, sumber memaklumkan,
pucuk kepimpinan UMNO sepatutnya mendahulukan pimpinan bahagian untuk bertanding sebagai calon pilihan raya itu, namun kerusi berkenaan sebaliknya ‘diserahkan’ kepada parti lain termasuk yang baru beberapa hari diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Menurut beliau, langkah sedemikian disifatkan telah menafikan sumbangan pimpinan bahagian parti sendiri untuk dicalonkan walaupun mereka sudahpun mengenali wajah pengundi di kawasan masing-masing.
“Realiti di bawah hanya penyelaras UMNO telah lama bekerja dan berjuang di DUN tetapi kini senang-senang orang lain (parti lain) hendak naik pentas ambil keuntungan dari akar umbi UMNO yang telah banyak membuat kerja.
“Langkah berkenaan boleh diumpamakan membawa masuk musuh hingga ke dalam rumah sedangkan sepatutnya hanya layak di luar pagar,” katanya.
Beliau berpandangan, tindakan penting diri oleh kepimpinan tertinggi UMNO disifatkan tidak boleh memberi impak kepada parti dalam misi menafikan kemaraan Pakatan Harapan (PH) pada PRN kali ini.
“Tindakan itu bukan saja tidak dipersetujui oleh akar umbi dan pimpinan UMNO bahagian, malah terdapat ahli Pas sendiri yang turut menolaknya apabila kerusi diserahkan kepada Wawasan.
“Tindakan itu secara jelas telah melanggar perjanjian yang telah dipersetujui secara bersama oleh Pas dan Wawasan. Ahli UMNO mungkin dengan Pas boleh lagi terbuka tapi bila melipatkan Wawasan, kami semua ‘tutup buku’,” katanya.






