
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut manakala tujuh lagi cedera selepas dua kenderaan dihempap pokok tumbang dalam kejadian di hadapan kondominium, Dua Residensi, berhampiran Kedutaan Singapura di Jalan Tun Razak, kira-kira jam 10.20 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sazalee Adam berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Amir Shazwan Saion, 43, yang memandu salah sebuah kenderaan terlibat.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan pada kedua-dua belah tangan serta pendarahan dalaman di bahagian dada sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 4 pagi tadi.
“Dalam kejadian sama, sebuah lagi kenderaan yang dinaiki tujuh individu berusia antara dua bulan hingga 57 tahun turut dihempap pokok.
“Kesemua mangsa kini menerima rawatan di HKL dan pemeriksaan awal mendapati mereka tidak mengalami kecederaan luaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan dan pemotongan pokok oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selesai kira-kira jam 12 tengah malam.
Katanya, kedua-dua kenderaan yang terlibat turut ditunda bagi membolehkan laluan di Jalan Tun Razak dibuka semula dan aliran trafik kembali lancar.





