Isu eFishery: Salahkan kerajaan sahaja tidak tepati realiti pelaburan global

PUTRAJAYA – Naratif yang terus menyalahkan Kerajaan MADANI dalam isu pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) terhadap syarikat pemula akuakultur di Indonesia dikenali sebagai eFishery adalah terlalu simplistik dan tidak menepati realiti tadbir urus pelaburan global.

Penganalisis keselamatan dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, kesimpulan itu merupakan satu bentuk bias hasil (outcome bias), dengan hanya menilai kualiti sesuatu keputusan semata-mata berdasarkan hasil akhirnya, tanpa mengambil kira maklumat yang tersedia ketika keputusan dibuat.

“Lebih kritikal lagi, mereka yang terus menuding jari kepada kerajaan seolah-olah menganggap Malaysia satu-satunya mangsa. Hakikatnya, eFishery turut menerima pelaburan daripada institusi kewangan bertaraf dunia seperti Temasek Holdings (Singapura), SoftBank Group (Jepun) dan Aqua-Spark (Europe) yang memiliki kepakaran, rangkaian risikan pasaran, firma audit antarabangsa serta keupayaan analisis yang jauh lebih besar.

“Jika institusi pelaburan global yang mengurus ratusan bilion dolar aset juga didakwa gagal mengesan penyelewengan tersebut pada peringkat awal, bagaimana boleh disimpulkan bahawa kegagalan itu berpunca daripada kerajaan Malaysia semata-mata? Logik sedemikian bukan sahaja lemah, malah mengabaikan sifat kompleks pelaburan antarabangsa,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.

Dalam dunia pelaburan rentas sempadan, Nur Ashikin berkata, risiko penipuan korporat sentiasa wujud walaupun proses due diligence (penilaian wajar dan teliti) dilaksanakan secara menyeluruh.

Malah, katanya, tiada mekanisme pelaburan yang mampu menjamin risiko sifar jika sesebuah syarikat dengan sengaja memalsukan rekod kewangan, memanipulasi data operasi atau mengemukakan gambaran prestasi yang mengelirukan kepada pelabur.

“Dari sudut keselamatan ekonomi, kes ini sebenarnya mendedahkan ancaman baharu terhadap negara, iaitu penipuan korporat rentas sempadan yang mampu menggugat keyakinan pelabur, kestabilan pasaran dan integriti ekosistem kewangan global. Ancaman sebegini tidak mengenal sempadan negara dan tidak memilih mangsa berdasarkan kekuatan institusi.

“Justeru, fokus utama sepatutnya diberikan kepada pelaku yang didakwa memalsukan maklumat serta usaha memperkukuh mekanisme pengesanan risiko, bukannya menjadikan kerajaan sebagai sasaran politik tanpa bukti bahawa wujud campur tangan, kecuaian atau pelanggaran prosedur,” katanya.

Sementara itu, dalam analisis dasar yang matang, Nur Ashikin menegaskan, perlu dibezakan antara kerugian akibat risiko pelaburan dan kerugian akibat kecuaian pentadbiran.

“Jika keputusan pelaburan dibuat mengikut proses tadbir urus yang ditetapkan berdasarkan maklumat yang ketika itu dipercayai benar, maka kerugian tersebut tidak boleh secara automatik diterjemahkan sebagai kegagalan kerajaan.

“Sebaliknya, jika siasatan pada masa hadapan menemukan bukti kelemahan dalam proses dalaman, maka kelemahan itu wajar diperbaiki melalui reformasi institusi.

“Menghukum sebelum siasatan selesai bukan sahaja bercanggah dengan prinsip tadbir urus yang baik, malah berisiko menjejaskan keyakinan terhadap institusi negara tanpa asas yang kukuh,” katanya.

Terdahulu, KWAP diperdayakan menerusi penipuan terancang dan manipulasi laporan kewangan sehingga menyalurkan kira-kira RM200 juta kepada eFishery.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan pelaburan dalam eFishery oleh KWAP dibuat melalui proses penilaian dan proses tadbir urus, berdasarkan maklumat tersedia yang merangkumi pengesahan penyata kewangan daripada juruaudit antarabangsa bertauliah.

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, konsortium pelabur termasuk KWAP juga sudah melaksanakan usaha wajar bebas untuk memastikan semua maklumat adalah lengkap dan sahih untuk pertimbangan pelaburan.

Related Posts

TH mahu beroperasi ikut piawaian institusi kewangan profesional

BANGI – Lembaga Tabung Haji (TH) ketika ini di fasa menuju perubahan besar dalam aspek kawal selia bagi memastikan institusi kewangan Islam itu beroperasi mengikut piawaian keselamatan dan profesionalisme tertinggi.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Ahli politik dilarang sertai Lembaga Tabung Haji

BANGI – Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan tiada mana-mana ahli politik dalam barisan Lembaga Pengarah institusi itu ketika ini. Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain menegaskan, perkara itu penting…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kementerian Pertahanan kaji naik taraf insentif Palapes

Kementerian Pertahanan kaji naik taraf insentif Palapes

Dunia pertahanan kini perlu kepakaran baharu termasuk AI – Khaled

Dunia pertahanan kini perlu kepakaran baharu termasuk AI – Khaled

TH mahu beroperasi ikut piawaian institusi kewangan profesional

TH mahu beroperasi ikut piawaian institusi kewangan profesional

Ahli politik dilarang sertai Lembaga Tabung Haji

Ahli politik dilarang sertai Lembaga Tabung Haji

AMK mahu Madinah perjelas isu sapina RCI Tabung Haji

AMK mahu Madinah perjelas isu sapina RCI Tabung Haji

Amaran risiko kecairan BNM tidak diendahkan TH sejak 2014

Amaran risiko kecairan BNM tidak diendahkan TH sejak 2014