
IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memperuntukkan lebih RM3.1 juta bagi membiayai Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahun 2026 yang melibatkan penyertaan 340 asnaf bagi meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran mereka dalam pelbagai sektor industri.
Kesemua peserta dilepaskan secara rasmi untuk mengikuti latihan di enam institusi latihan yang dilantik menerusi Majlis Pelepasan Peserta TVET MAIPk Tahun 2026 yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia, di sini, baru-baru ini.
Majlis itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh yang turut menyaksikan penyerahan simbolik peserta kepada wakil institusi latihan sebelum mereka melapor diri di pusat latihan masing-masing.
Syamsul Hazeman berkata, peruntukan melebihi RM3.1 juta itu merangkumi pembiayaan kos latihan kemahiran, pensijilan profesional serta keperluan latihan peserta sebagai usaha berterusan MAIPk memperkasa golongan asnaf menerusi pembangunan modal insan.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan MAIPk dalam memperkasakan sosioekonomi asnaf melalui pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan modal insan yang berdaya saing.
“Kita mahu melahirkan lebih ramai asnaf yang bukan sahaja memiliki kemahiran tinggi, malah mampu memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan.

Beliau berkata, program TVET merupakan antara inisiatif strategik MAIPk bagi memastikan bantuan zakat tidak hanya tertumpu kepada bantuan kebajikan, sebaliknya menjadi platform membina masa depan asnaf menerusi peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan yang lebih mampan.
Menurutnya, peserta akan mengikuti latihan dalam bidang berimpak tinggi yang mendapat permintaan besar dalam pasaran pekerjaan seperti pembinaan, minyak dan gas (oil & gas), automasi industri, kimpalan, perkapalan, penjagaan kesihatan serta sektor perkhidmatan.
“Tempoh latihan adalah antara satu hingga sembilan bulan bergantung kepada kursus yang diikuti, selain peserta turut memperoleh pensijilan profesional bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas tamat latihan,” katanya.
Enam institusi latihan yang terlibat ialah Akademi Binaan Malaysia Wilayah Utara, SRC Global Resources Sdn. Bhd., Vision University College, Kulim Advanced Technologies Sdn. Bhd., Northwestern Institute of Advanced Technical Skills dan Haaza Centre of Excellence.
Program TVET MAIPk merupakan antara inisiatif berterusan institusi itu dalam melahirkan lebih ramai asnaf berkemahiran tinggi, berdaya saing dan mampu berdikari, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri selaras aspirasi memperkasa ummah melalui pendidikan dan latihan kemahiran.





