Bersatu mahu ‘mufarakah’ daripada PN – Annuar

KEPUTUSAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai tindakan memilih untuk ‘mufarakah’ atau berpisah daripada Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan itu dibuat secara sukarela oleh Bersatu sebelum Majlis Tertinggi PN sempat memuktamadkan pembahagian kerusi, calon dan penggunaan lambang dalam mesyuarat khas yang dijadualkan pagi ini.

Menurutnya, walaupun keputusan itu merupakan hak Bersatu, ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana parti itu didakwa telah lama merancang platform politik di luar PN.

“Keputusan itu bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana sejak bulan lalu, kami telah dimaklumkan serta diberikan bukti dan maklumat secara hitam putih mengenai perancangan Bersatu untuk menghidupkan satu platform politik lain selain PN,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Annuar turut mendakwa Bersatu sejak awal lagi konsisten menolak usaha memperluaskan kerjasama politik Melayu melalui PN.

“Kami juga memahami dari awal penentangan Bersatu secara konsisten terhadap usaha penyatuan dan muafakat Melayu serta menolak usaha membuka PN kepada lebih banyak parti Melayu yang lain,” katanya.

Semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu akan menggunakan simbol Bersatu pada PRN Negeri Sembilan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN ditangguhkan tanpa tarikh baharu.

Muhyiddin mendakwa Bersatu tidak lagi dilibatkan dalam sebarang perbincangan berkaitan agihan kerusi, sekali gus menyebabkan parti itu mengambil keputusan bergerak sendiri.

Mengulas perkara itu, Annuar berkata, antara punca utama kebuntuan rundingan ialah tuntutan Bersatu yang mahu bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, permintaan itu sukar dipenuhi memandangkan PN dianggotai enam parti komponen yang perlu berkongsi jumlah kerusi yang terhad.

“Bersatu sebenarnya telah memaklumkan secara rasmi kepada Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN berhasrat mahu 15 kerusi sebagai ‘wish list’ bagi PRN Negeri Sembilan.

“Yang sudah pasti tidak tertunai oleh PN yang mempunyai enam parti gabungan serta jumlah kerusi yang kurang daripada 15. Tidak mungkin semua mesti dibolot Bersatu,” katanya.

Sehubungan itu, Annuar berpandangan keputusan Bersatu bertanding menggunakan logo sendiri merupakan jalan terbaik dan wajar dihormati semua pihak.

Katanya, langkah itu memberi kebebasan kepada Bersatu untuk meletakkan calon mengikut kehendaknya tanpa terikat dengan rundingan dalam PN.

“Bersatu kini bebas untuk bertanding di 15 kerusi atau lebih pada PRN Negeri Sembilan.

“Bagi Pas, penyatuan ummah kita dahulukan, bukan jumlah kerusi,” katanya.

Related Posts

TH mahu beroperasi ikut piawaian institusi kewangan profesional

BANGI – Lembaga Tabung Haji (TH) ketika ini di fasa menuju perubahan besar dalam aspek kawal selia bagi memastikan institusi kewangan Islam itu beroperasi mengikut piawaian keselamatan dan profesionalisme tertinggi.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Ahli politik dilarang sertai Lembaga Tabung Haji

BANGI – Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan tiada mana-mana ahli politik dalam barisan Lembaga Pengarah institusi itu ketika ini. Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain menegaskan, perkara itu penting…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kementerian Pertahanan kaji naik taraf insentif Palapes

Kementerian Pertahanan kaji naik taraf insentif Palapes

Dunia pertahanan kini perlu kepakaran baharu termasuk AI – Khaled

Dunia pertahanan kini perlu kepakaran baharu termasuk AI – Khaled

TH mahu beroperasi ikut piawaian institusi kewangan profesional

TH mahu beroperasi ikut piawaian institusi kewangan profesional

Ahli politik dilarang sertai Lembaga Tabung Haji

Ahli politik dilarang sertai Lembaga Tabung Haji

AMK mahu Madinah perjelas isu sapina RCI Tabung Haji

AMK mahu Madinah perjelas isu sapina RCI Tabung Haji

Amaran risiko kecairan BNM tidak diendahkan TH sejak 2014

Amaran risiko kecairan BNM tidak diendahkan TH sejak 2014