Kerajaan Perpaduan Perak kekal utuh hingga DUN dibubar – Saarani

IPOH – Kerajaan Perpaduan yang diterajui Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Perak akan terus kekal sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, meskipun timbul spekulasi susulan perkembangan politik di Melaka.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, komitmen itu dipersetujui sebulat suara oleh semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi memastikan kestabilan pentadbiran serta kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus terpelihara.

Menurut beliau, perkara itu dibincangkan secara terbuka bersama barisan Exco sebelum mesyuarat mingguan kerajaan negeri pada Rabu.

“Semalam sebelum mesyuarat Exco, saya duduk bersama semua Exco dan bertanya secara terus terang sama ada apa yang berlaku di Melaka akan berlaku di Perak.

“Setakat ini tidak berlaku. Kami berikrar bahawa sepanjang tempoh perkhidmatan sehingga pembubaran DUN, kami akan terus berfungsi dan melaksanakan tanggungjawab seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak di Taman Lapangan Terbang, di sini pada Khamis.

Turut hadir Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed.

Saarani mengulas keputusan DAP Melaka yang mengumumkan keluar daripada pentadbiran Kerajaan Melaka dan melepaskan semua jawatan dalam kerajaan negeri, termasuk jawatan Exco.

Tindakan itu diambil selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Negeri bagi menambah tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.

Mengulas lanjut, Saarani yang juga Pengerusi BN Perak berkata, perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponen bukan sesuatu yang luar biasa dan tidak menjejaskan kerjasama dalam pentadbiran negeri.

“Ada orang bersuara lantang, ada yang bersuara perlahan. Ada yang bersuara kuat tetapi hatinya baik. Dalam politik, pelbagai pendekatan itu perkara biasa,” katanya.

Pada 2022, BN dan PH Perak membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), selepas membentuk gabungan majoriti mudah 33 daripada 59 kerusi DUN.

PH memenangi 24 kerusi, BN sembilan kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperolehi 26 kerusi.

Dalam pada itu, Saarani turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membiarkan perbezaan politik menjejaskan hubungan sesama insan serta mengelakkan budaya saling menyerang yang boleh merosakkan keharmonian.

“Sebaiknya kita tidak saling melukakan. Berbeza pendapat itu perkara biasa, tetapi jangan sampai mengutuk, mencerca atau memutuskan silaturahim,” katanya.

Related Posts

Lima ADUN PH sah keluar Kerajaan Negeri Melaka, Ahli Majlis dan JPKK turut berundur

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) Melaka mengesahkan keputusan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) gabungan itu menarik diri daripada pentadbiran Kerajaan Negeri susulan pendirian menolak pindaan Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Bersatu mahu ‘mufarakah’ daripada PN – Annuar

KEPUTUSAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan disifatkan sebagai tindakan memilih untuk ‘mufarakah’ atau berpisah daripada Perikatan Nasional (PN). Ketua…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lima ADUN PH sah keluar Kerajaan Negeri Melaka, Ahli Majlis dan JPKK turut berundur

Lima ADUN PH sah keluar Kerajaan Negeri Melaka, Ahli Majlis dan JPKK turut berundur

Bersatu mahu ‘mufarakah’ daripada PN – Annuar

Bersatu mahu ‘mufarakah’ daripada PN – Annuar

Kerajaan Perpaduan Perak kekal utuh hingga DUN dibubar – Saarani

Kerajaan Perpaduan Perak kekal utuh hingga DUN dibubar – Saarani

Program Perumahan Rakyat bukti komitmen kerajaan sedia kediaman selesa buat golongan sasar

Program Perumahan Rakyat bukti komitmen kerajaan sedia kediaman selesa buat golongan sasar

Polis trafik dipenjara 4 bulan terima rasuah guna akaun isteri

Polis trafik dipenjara 4 bulan terima rasuah guna akaun isteri

MCMC wajibkan kandungan berbahaya disekat dalam tempoh 24 jam

MCMC wajibkan kandungan berbahaya disekat dalam tempoh 24 jam