
KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung mempersoalkan dakwaan wujudnya persefahaman antara UMNO dan Pas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini, beliau berulang kali menjelaskan kepada pengundi bahawa Barisan Nasional (BN) tidak bekerjasama dengan Pas, malah menegaskan kerjasama dengan parti itu sebelum ini hanya melibatkan DAP.
Namun, katanya, seminggu kemudian beliau dikejutkan dengan kenyataan pemimpin BN pada pentas pengumuman calon PRN Negeri Sembilan yang menyebut mengenai kewujudan “persefahaman dengan rakan-rakan”, sebelum disusuli pengesahan pemimpin Pas mengenai kerjasama dengan UMNO.
“Saya keliru. Adakah MCA telah bersetuju? Adakah Setiausaha Agung MCA bersetuju? Adakah Lembaga Pengarah parti telah meluluskan perkara ini? Apakah bentuk persefahaman yang dimaksudkan dengan Pas?” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Yee Fung berkata, MCA selama ini konsisten mempertahankan prinsip sekularisme dan demokrasi, justeru beliau mempersoalkan sama ada pendirian tersebut kini telah diketepikan.
“Apakah garis merah kita? Apakah prinsip yang masih kita pegang? Adakah semuanya dikorbankan semata-mata untuk mendapatkan undi, jawatan atau kemenangan politik?
“Saya seorang yang berpegang kepada prinsip dalam politik dan saya tidak boleh bersetuju dengan pendekatan seperti ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan mengubah pendirian politik demi kepentingan jangka pendek boleh menyebabkan sesebuah parti kehilangan identiti serta kepercayaan penyokongnya.






