
LAHAD DATU – Jabatan Imigresen Malaysia(Imigresen) Negeri Sabah menghantar pulang seramai 4,275 tahanan PATI di negeri ini ke negara asal sejak Januari hingga semalam.
Imigresen Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, penghantaran itu membabitkan 2,838 warga Filipina, 1,207 warga Indonesia, 105 warga Pakistan dan 89 warga China.

“Terbaharu 260 PATI warga Filipina dihantar ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI yang dilaksanakan menggunakan feri komersial dari Pelabuhan Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina.
“Mereka merupakan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan.
“Mereka terdiri daripada 167 lelaki dewasa, 40 wanita dewasa, 30 kanak-kanak lelaki dan 23 kanak-kanak perempuan berumur antara lima hari hingga 68 tahun,” menurut Imigresen Sabah, pada Khamis.
Menurut kenyataan sama, Imigresen turut menghantar tahanan menggunakan penerbangan iaitu lima lelaki warga China dari Depot Imigresen Papar yang dihantar pulang ke Guangzhou melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 14 Julai.
“Selain itu, lima lelaki warga Pakistan dari Depot Imigresen Tawau dihantar pulang ke Lahore melalui penerbangan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 10 Julai lalu,” ujar kenyataan itu.
Difahamkan, semua tahanan yang dihantar pulang telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan (Travel Documents) yang sah bagi melayakkan mereka mengikuti proses penghantaran pulang.
Justsru, Imigresen Sabah menyeru orang ramai supaya tidak melindungi atau menggaji PATI serta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan PATI melalui saluran rasmi jabatan bagi membantu memperkukuh penguatkuasaan imigresen.






