
MIRI – Seramai 50 murid lelaki dari Sekolah Kebangsaan (SK) Anchi menyertai Kem Program Intelek Asuhan Rohani (PINTAR) 2.0 bagi membentuk sahsiah serta meningkatkan daya tahan diri dalam kalangan pelajar.
Program anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Miri dan SK Anchi diadakan selama dua hari satu malam yang berlangsung dari 4 hingga 5 Julai.
Menurut Ketua AADK Daerah Miri, Rosmah Nasir, pengisian program turut menekankan pembentukan daya tahan atau resilien dalam kalangan peserta supaya mereka mampu membuat keputusan yang bijak dan menjauhi sebarang pengaruh negatif, termasuk penyalahgunaan dadah.
“Program memberi pendedahan kepada peserta melalui pelbagai aktiviti fizikal dan mental yang bertujuan membina keberanian, keyakinan diri, semangat setiakawan, kepimpinan serta kemahiran komunikasi secara berkumpulan.
“Semua peserta menunjukkan komitmen, semangat kerjasama dan minat yang tinggi terhadap setiap aktiviti serta tugasan yang disediakan sepanjang kem berlangsung,” katanya.
Majlis penutupan program disempurnakan oleh Guru Besar SK Anchi Miri, Afendi Soon, dan turut dihadiri Ketua Daerah AADK Daerah Miri, Rosmah Nasir.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga SK Anchi Miri, PPD Miri, Klinik Nur Sejahtera LPPKN Miri, ahli SKUAD Antidadah Miri, urus setia, fasilitator, guru serta semua peserta atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan.
Menurut agensi itu, pengalaman dan ilmu yang diperoleh sepanjang kem diharap dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian serta menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi muda yang berdaya saing, berintegriti dan berwawasan, selaras dengan aspirasi Dadah Terkawal 2030.





