
LAHAD DATU – Pasukan Polis Marin (Marin) Wilayah 4 Sabah dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Lahad Datu berjaya merampas isirung kelapa sawit (kernel) bernilai lebih RM600,000 dalam satu serbuan di sebuah premis di Jalan POIC, di sini, pada Selasa.
Komander Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman, berkata, serbuan dijalankan hasil risikan dan kerjasama strategik kedua-dua pihak bagi membanteras kegiatan penyimpanan serta pengendalian isirung kelapa sawit tanpa lesen yang sah.
“Bagaimanapun, beberapa pekerja di premis berkenaan bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Kita turut merampas beberapa aset dipercayai digunakan untuk aktiviti penyimpanan dan pengendalian isirung kelapa sawit tanpa lesen sah,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.
Kes disiasat di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).
Menurut Ahmad Amri, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan sebanyak 11 kes di bawah akta sama dengan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM8.7 juta serta 25 tangkapan.
Justeru, beliau menegaskan pihaknya terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa lain dalam membanteras aktiviti menyalahi undang-undang, sekali gus melindungi kepentingan industri komoditi negara.






