
KUALA PILAH – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, sekali lagi diberi kepercayaan mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Nama Anthony diumumkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Menteri Pengangkutan itu mempertahankan kerusi berkenaan selepas meraih kemenangan pada PRN lalu dengan majoriti 2,200 undi.
Pencalonan Anthony dilihat memperkukuhkan keyakinan DAP untuk mengekalkan penguasaan di kerusi tradisi parti itu, sekali gus meneruskan prestasi cemerlang pada pilihan raya negeri kali ini.
Sebelum ini, DAP Negeri Sembilan menyatakan keyakinan untuk mempertahankan semua 11 kerusi DUN yang diperuntukkan kepada parti itu dalam pembahagian kerusi PH.
Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin berkata, sasaran itu disandarkan kepada rekod pencapaian kerajaan negeri serta perkhidmatan yang diberikan wakil rakyat DAP sepanjang tempoh pentadbiran.
Pada PRN 2023, PH membentuk kerajaan Negeri Sembilan bersama Barisan Nasional (BN) selepas kedua-dua gabungan itu menguasai 31 daripada 36 kerusi DUN.
PH memenangi 17 kerusi, manakala BN memperoleh 14 kerusi, sementara Perikatan Nasional (PN) memenangi baki lima kerusi.
Bagaimanapun, landskap politik pada PRN kali ini berubah apabila PH dan BN membuat keputusan bertanding secara berasingan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini mengesahkan gabungan itu akan bertanding secara solo selepas PH mengumumkan akan meletakkan calon di kesemua 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan.
Sementara itu, Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata agihan kerusi PH bagi PRN kali ini menyaksikan PKR bertanding di 16 kerusi, DAP (11) dan Parti Amanah Negara (Amanah) di sembilan kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Julai sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos.



