
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mempergiat usaha meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan tekanan kos sara hidup menerusi pelbagai langkah di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi menangani fenomena golongan bekerja tetapi masih miskin (working poor).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, strategi itu dilaksanakan menerusi pendekatan serampang dua mata iaitu meningkatkan pendapatan isi rumah dan membendung kenaikan harga barangan serta perkhidmatan.
“Bagi jangka pendek di bawah Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan lebih RM15 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain RM3.1 bilion bagi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada keluarga miskin, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
“Kerajaan turut meneruskan pelbagai inisiatif di bawah Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara termasuk Program Penyeragaman Harga Barang di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan peruntukan RM67 juta serta inisiatif Payung RAHMAH bernilai RM600 juta.
“Selain itu, subsidi bersasar bagi bahan api dan utiliti akan terus dilaksanakan menggunakan data PADU bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerluka,” katanya dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai jurang antara pertumbuhan pendapatan sebenar isi rumah dengan peningkatan kos sara hidup sejak tahun 2018, serta langkah kerajaan menangani jurang pendapatan dan peningkatan kos sara hidup.
Akmal menambah, kerajaan juga akan memperkukuh penguatkuasaan rantaian bekalan, membanteras pencatutan dan amalan anti-persaingan bagi menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan.
“Bagi jangka sederhana dan panjang pula, RMK13 memberi tumpuan kepada penciptaan pekerjaan berkualiti, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif, kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700, peningkatan kemahiran tenaga kerja, pembangunan bakat, produktiviti serta reformasi Pendidikan,” katanya.








