
KANGAR – Seorang pempengaruh media sosial berusia 23 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes disyaki merogol dan merakam gambar seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, perintah reman terhadap suspek bermula hari ini hingga 19 Julai dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd. Nor di Mahkamah Majistret Kangar.
Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 3.09 petang semalam.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada awal pagi 17 Jun lalu selepas suspek menjemput mangsa di Wang Kelian menggunakan sebuah kereta Proton Saga berwarna putih,” katanya.
Yusharifuddin berkata, suspek kemudian dipercayai membawa mangsa ke sebuah restoran Thai di Bintong sebelum ke sebuah rumah sewa di Taman Kangar.
Katanya, ketika berada di rumah berkenaan, suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa selain merakam gambar berkaitan kejadian.
Menurutnya, suspek kemudian menghantar mangsa pulang kira-kira pukul 4 pagi.
Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah di sini bagi menjalani pemeriksaan lanjut.
Suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai kasut di Kuala Lumpur disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.





