JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menzahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas limpah perkenan melantik beliau untuk terus menerajui pentadbiran negeri sebagai Menteri Besar Johor.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas istiadat pelantikannya, Onn Hafiz berkata, beliau menerima amanah tersebut dengan penuh rasa tanggungjawab serta berikrar untuk terus berkhidmat dengan taat setia demi kemajuan negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor.
Beliau berkata, setiap keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan negeri selepas ini akan memberi kesan kepada kehidupan jutaan rakyat Johor, justeru beliau memohon petunjuk dan kekuatan daripada Allah SWT agar sentiasa dikurniakan kebijaksanaan, berlaku adil, amanah serta ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab yang dipikul.
“Saya sedar bahawa setiap keputusan yang akan dibuat selepas ini akan memberi kesan kepada kehidupan jutaan Bangsa Johor. Justeru, saya berdoa agar Allah SWT terus membimbing setiap langkah serta mengurniakan kebijaksanaan dalam membuat setiap keputusan,” katanya.

Pada masa sama, Onn Hafiz turut memaklumkan bahawa atas limpah perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, kerajaan negeri mengisytiharkan Isnin, 13 Julai 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa Negeri Johor.
Menurut beliau, pengisytiharan cuti peristiwa itu dibuat sebagai tanda penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat dengan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Johor atas komitmen mereka dalam menjayakan proses demokrasi serta memohon doa agar pentadbiran kerajaan negeri terus dipermudahkan.
“Saya memohon doa daripada seluruh Bangsa Johor agar Allah SWT terus memimpin dan mempermudahkan segala urusan kami. Semoga setiap amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan integriti, serta setiap keputusan sentiasa mendapat petunjuk dan keredaan-Nya,” katanya.
Onn Hafiz mengakhiri kenyataannya dengan lafaz, “Allah Peliharakan Sultan, Allah Berkati Johor, Kepada Allah Kita Berserah,” sebagai simbol iltizam untuk terus memimpin negeri berlandaskan amanah, integriti dan kesejahteraan rakyat.




