
JUDE Bellingham menjadi watak utama England dengan membantu skuad kendalian Thomas Tuchel menewaskan Norway 2-1 dalam aksi suku akhir Piala Dunia 2026 penuh dramatik di Stadium Miami, pagi tadi.
Kemenangan itu hadir selepas perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas 90 minit permainan.
Norway kendalian Stale Solbakken terlebih dahulu membuka jaringan menerusi rembatan mengelirukan Andreas Schjelderup pada minit ke-36 hasil hantaran kapten Martin Odegaard sebelum England bangkit menyamakan kedudukan menerusi Bellingham pada penghujung babak pertama untuk menghidupkan semula harapan The Three Lions.
Ketika perlawanan memasuki masa tambahan, Bellingham sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledak gol kedua peribadinya pada minit ketiga masa tambahan.
Pemain tengah Real Madrid itu pantas menyambar bola muntah selepas penjaga gol Norway, Orjan Nyland gagal menangkap kemas rembatan deras pemain gantian Morgan Rogers dari luar kotak penalti, sekali gus meletakkan England 2-1 di depan.
England hampir menambah jaringan ketiga apabila Djed Spence dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-98, namun pengadil Clement Turpin memutuskan tiada sepakan penalti diberikan selepas merujuk video bantuan pengadil.
Norway berusaha keras mencari gol penyamaan pada baki masa tambahan, namun benteng England bertahan kental untuk memastikan kemenangan berharga itu kekal sehingga wisel penamat.




