JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu saling menghormati mandat rakyat serta bekerjasama demi memastikan pembangunan Johor dan kesejahteraan rakyat terus diperkasakan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, keputusan yang dibuat rakyat menerusi proses demokrasi perlu dihormati semua pihak tanpa mengira parti yang membentuk kerajaan negeri.
“Siapa pun yang menjadi kerajaan negeri perlu dihormati, khususnya oleh kerajaan pusat. Ini bukan pilihan raya kerajaan pusat kerana Kerajaan Persekutuan sedia ada.
“Dalam sistem Persekutuan yang kita amalkan, kerajaan pusat perlu menerima kerajaan negeri yang dipilih rakyat, manakala kerajaan negeri pula perlu menghormati kerajaan pusat. Kedua-duanya mesti bergerak seiring bagi memajukan negara dan memastikan rakyat menikmati kesejahteraan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Sabtu.
Terdahulu, Mohamed Khaled melahirkan rasa gembira apabila mendapati proses pengundian berjalan lancar dengan kadar keluar mengundi yang tinggi serta tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Menurut beliau, keadaan itu membuktikan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan negara kekal kukuh serta terus mendapat keyakinan rakyat.
“Ia menunjukkan proses demokrasi negara ini berjalan dengan baik. Rakyat memainkan peranan memilih kerajaan di semua peringkat, termasuk di peringkat negeri,” katanya.
Mengulas penyertaan pengundi muda, beliau berkata, golongan itu mungkin mempunyai pelbagai pertimbangan dalam membuat pilihan, sama ada berdasarkan persepsi, populariti calon atau faktor lain.
Bagaimanapun, beliau berharap lebih ramai pengundi membuat keputusan berdasarkan perkara yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan masa depan keluarga.
“Saya berharap peratus pengundi yang membuat keputusan bersandarkan kepada perkara yang sewajarnya adalah sangat tinggi,” katanya.
Mohamed Khaled turut mengingatkan pengundi supaya menggunakan hak mereka secara bijaksana dengan memilih kerajaan yang benar-benar berupaya mentadbir dan memajukan Johor.
Beliau berkata, kedudukan strategik Johor menuntut negeri itu terus dipacu ke hadapan melalui pembangunan, pelaburan dan penyediaan peluang pekerjaan yang lebih baik.
Pada masa sama, beliau menegaskan perbezaan parti yang mentadbir kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bukan alasan untuk menghalang pembangunan kerana Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bidang kuasa masing-masing.




