
CHERAS – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan migran warga Bangladesh yang dikenali sebagai “Geng Karim” menerusi serbuan ke atas sebuah premis yang dijadikan rumah persembunyian dan transit migran dekat sini.
Serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya pada jam 7.50 malam, itu membawa kepada penahanan 19 warga asing, termasuk tiga lelaki Bangladesh yang dipercayai ahli sindiket.
“Daripada jumlah itu, 16 individu terdiri daripada 15 warga Bangladesh dan seorang warga Pakistan dipercayai merupakan migran yang diseludup masuk ke negara ini.
“Siasatan awal mendapati kesemua migran terbabit dipercayai memasuki Malaysia pada hari yang sama melalui laluan haram di pantai timur sebelum dibawa ke Lembah Klang menggunakan pengangkutan darat,” menurut JIM dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut JIM, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Januari lalu menggunakan rangkaian penyeludupan yang tersusun, di mana migran dibawa terlebih dahulu ke Kemboja sebelum diseludup ke selatan Thailand dan seterusnya memasuki Kelantan melalui laluan tidak sah.
“Sindiket dipercayai mengenakan bayaran sehingga RM15,000 bagi setiap migran yang diseludup dan dianggarkan mengaut keuntungan sekitar RM3.2 juta sejak mula beroperasi.
“Seorang daripada suspek yang ditahan dipercayai berperanan sebagai individu utama yang menyelaras operasi sindiket di Malaysia,” katanya.
Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut menyita sebuah kereta jenis sedan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penyeludupan migran.
Kesemua migran berusia antara 20 hingga 52 tahun itu kini ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya bagi membantu siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Jabatan Imigresen menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau sindiket yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta ATIPSOM dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan migran di negara ini.






