
AMPANG: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan empat kompaun dalam Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Rumah Urut baru-baru ini.
Operasi itu dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat di sekitar Ampang.
“Operasi yang bermula pada jam 8 malam itu bertujuan memastikan premis rumah urut mematuhi undang-undang, syarat lesen serta peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Sepanjang operasi, sebanyak 13 premis rumah urut diperiksa melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa,” menurut kenyataan itu.
Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang tangkapan dibuat oleh JAIS mahupun PAID Hulu Langat, namun MPAJ mengeluarkan empat kompaun atas pelbagai kesalahan yang dikenal pasti.
MPAJ memaklumkan operasi bersepadu itu berjalan lancar hasil kerjasama erat antara semua agensi yang terlibat dalam usaha memperkukuh pemantauan terhadap premis perniagaan.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan tahap pematuhan pemegang lesen, memastikan setiap premis beroperasi mengikut peraturan yang ditetapkan serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih teratur, selamat dan kondusif.






