
SARATOK – Seramai 24 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada daerah Saratok, Pusa dan Betong yang berdaftar dalam sistem eKasih menerima Bantuan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) Skop Peningkatan Pendapatan Tahun 2026 bagi membantu meningkatkan pendapatan serta memperkukuh kedudukan sosioekonomi keluarga masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohammad Duri berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat perhatian dan tidak tercicir daripada arus pembangunan.
Menurut beliau, kerajaan sentiasa komited melaksanakan pelbagai pendekatan yang menyeluruh dan bersasar bagi membantu rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan, di samping memperkasa keupayaan mereka menjana pendapatan secara mampan.
“Agenda membasmi kemiskinan bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata.
“Sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk agensi pelaksana dan penerima bantuan agar manfaat yang disalurkan benar-benar dapat meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) di Dewan Pejabat Daerah Saratok, pada Jumaat.

Beliau dalam masa sama mengajak seluruh masyarakat terus menyokong aspirasi Malaysia MADANI dalam usaha membentuk komuniti yang lebih sejahtera, berdaya tahan serta berkeupayaan meningkatkan kualiti kehidupan.
Program anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Zon Sri Aman) itu melibatkan penyaluran bantuan peralatan bernilai keseluruhan RM120,000 yang diberikan secara sekali beri (one-off) kepada para penerima.
Antara bantuan yang disediakan ialah peralatan pembuatan kuih-muih, peralatan jahitan dan peralatan bengkel bagi membolehkan penerima memulakan atau mengembangkan aktiviti ekonomi sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pegawai Pembangunan Zon, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Zon Sri Aman), Radiah Muhamad; wakil Residen Bahagian Betong, Florence Bulan Johnny; Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh; wakil Pegawai Daerah Pusa, Anthony Peter Mihe Noel; serta wakil Pegawai Daerah Saratok, Hatta Adenan.
Foto: ADUN KALAKA






