Pejabat Daerah Kecil Debak baharu bernilai RM8.89 juta perkukuh penyampaian perkhidmatan awam

DEBAK – Pembinaan Pejabat Daerah Kecil Debak yang baharu bernilai RM8.89 juta membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam serta memastikan pembangunan yang seimbang dapat dinikmati masyarakat luar bandar.

Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, projek bernilai RM8,887,740 itu bukan sekadar melibatkan pembinaan sebuah bangunan baharu, malah menjadi titik permulaan kepada lembaran baharu dalam sejarah pembangunan Daerah Kecil Debak.

“Pembinaan pejabat baharu ini merupakan pelaburan strategik untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan, memperkukuh penyelarasan pembangunan serta menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Daerah Kecil Debak bukanlah kawasan yang asing dalam sejarah pembangunan Bahagian Betong. Sejak diwujudkan sekitar 1970-an, Pejabat Daerah telah memainkan peranan penting sebagai pusat pentadbiran kerajaan, penyelaras pembangunan dan penghubung utama antara kerajaan dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Bina Baharu Pejabat Daerah Kecil Debak di sini pada Jumaat.

Razi Sitam berkata, projek itu mula dibina pada 15 Disember 2025 dan dijadualkan siap dalam tempoh 20 bulan, iaitu pada 14 Ogos 2027.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak sentiasa komited memastikan pembangunan yang inklusif tanpa meminggirkan kawasan luar bandar selaras dengan usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat melalui penyediaan kemudahan pentadbiran yang lebih moden dan cekap.

Katanya, beliau berpuas hati apabila dimaklumkan kemajuan pembinaan projek itu berjalan mengikut jadual dan berharap kontraktor dapat mengekalkan momentum berkenaan sehingga projek siap mengikut spesifikasi, piawaian kualiti serta mengutamakan aspek keselamatan.

“Apabila siap kelak, bangunan Pejabat Daerah Kecil Debak yang baharu akan menyediakan persekitaran kerja yang lebih kondusif dengan blok pentadbiran yang sistematik, bilik mesyuarat yang lebih selesa serta pelbagai kemudahan moden bagi memenuhi keperluan pentadbiran semasa,” katanya.

Menurut beliau, projek itu turut menyediakan bilik khas untuk Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam menghubungkan kerajaan dengan masyarakat di peringkat akar umbi.

Selain itu, bangunan berkenaan akan dilengkapi dengan Bilik Mahkamah Bumiputera bagi memperkukuh fungsi institusi adat dalam menyelesaikan perkara berkaitan masyarakat mengikut peruntukan undang-undang serta adat yang berkuat kuasa.

Kemudahan lain yang disediakan termasuk tempat letak kereta berbumbung, ruang menunggu yang lebih selesa, kemudahan mesra pelanggan serta infrastruktur sokongan yang lebih lengkap bagi meningkatkan keselesaan orang ramai ketika berurusan dengan jabatan kerajaan.

“Pembinaan Pejabat Daerah Kecil Debak juga selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam memperkasa transformasi digital serta memperluas pelaksanaan penyampaian perkhidmatan kerajaan secara digital yang lebih menyeluruh dan cekap,” katanya.

Tambah Razi Sitam lagi, kewujudan infrastruktur baharu itu akan menjadi pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih pantas, mudah dan berteraskan teknologi, sekali gus memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan rakyat.

“Saya yakin projek ini akan memberi manfaat besar kepada masyarakat Debak menerusi peningkatan kecekapan pentadbiran, penyelarasan pembangunan yang lebih berkesan serta penyampaian perkhidmatan awam yang lebih berkualiti demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu; Residen Bahagian Betong, Datuk Richard Michael Abunawas; Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh; ketua-ketua jabatan serta ketua masyarakat dan ketua kaum setempat.

Foto: Jabatan Kerja Raya Sarawak Bahagian Betong

Related Posts

Sibu bakal distruktur semula berteraskan ekonomi rendah karbon – Abang Johari

SIBU- Sarawak merancang untuk menstruktur semula pembangunan Bandar Sibu menerusi pendekatan baharu berteraskan ekonomi hijau dan rendah karbon bagi memastikan ia terus berdaya saing. Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari…

Lebih lanjut

teruskan membaca
MPAJ keluar empat kompaun ke atas 13 rumah urut di Ampang

AMPANG: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan empat kompaun dalam Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Rumah Urut baru-baru ini. Operasi itu dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pejabat Agama…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sibu bakal distruktur semula berteraskan ekonomi rendah karbon – Abang Johari

Sibu bakal distruktur semula berteraskan ekonomi rendah karbon – Abang Johari

MPAJ keluar empat kompaun ke atas 13 rumah urut di Ampang

MPAJ keluar empat kompaun ke atas 13 rumah urut di Ampang

24 KIR eKasih terima bantuan Sejahtera MADANI perkasa pendapatan

24 KIR eKasih terima bantuan Sejahtera MADANI perkasa pendapatan

Empat penunggang RXZ maut, kemalangan babit 13 kenderaan

Empat penunggang RXZ maut, kemalangan babit 13 kenderaan

Pejabat Daerah Kecil Debak baharu bernilai RM8.89 juta perkukuh penyampaian perkhidmatan awam

Pejabat Daerah Kecil Debak baharu bernilai RM8.89 juta perkukuh penyampaian perkhidmatan awam

Tengku Hassanal berkenan rasmi Kompleks Belia dan Sukan Pahang

Tengku Hassanal berkenan rasmi Kompleks Belia dan Sukan Pahang