
SIBU- Sarawak merancang untuk menstruktur semula pembangunan Bandar Sibu menerusi pendekatan baharu berteraskan ekonomi hijau dan rendah karbon bagi memastikan ia terus berdaya saing.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah penstrukturan itu penting bagi memperkukuh potensi Sibu selari dengan perubahan landskap ekonomi global.
Menurutnya, Sibu yang pada suatu ketika dahulu bergantung kepada industri pembalakan kini menuntut peralihan kepada model pertumbuhan yang lebih lestari.
“Pembangunan Sibu sejak era kolonial tidak dirancang berpandukan pelan induk yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan pembangunan jangka panjang.
“Justeru, bandar ini perlu disusun semula supaya lebih sistematik, moden dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Masyarakat dan Ketua Kaum pada Jumaat malam.
Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan peranan ketua masyarakat amat penting sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat bagi memastikan setiap
perancangan transformasi tersebut mendapat sokongan jitu.
Menyentuh soal dana, beliau mengakui usaha menstruktur semula wilayah itu memerlukan komitmen kewangan yang besar daripada kerajaan negeri.
Bagaimanapun, peningkatan kedudukan kewangan Sarawak yang semakin kukuh ketika ini membolehkan kelangsungan agenda mega tersebut direalisasikan.
“Hasil negeri kita kini meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM6 bilion ketika saya mengambil alih pentadbiran daripada Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.
“Peningkatan hasil ini sekali gus membolehkan kita meneruskan pelbagai agenda memperkukuh pembangunan bandar utama seperti Sibu,” ujarnya.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)






