
KOTA KINABALU – Pemilik kenderaan diesel di Sabah kini mempunyai lebih banyak ruang untuk melengkapkan urusan pertukaran hak milik apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah membuka kaunter khas pada setiap hujung minggu sepanjang Julai ini bagi mempercepatkan proses permohonan BUDI Diesel.
Pengarah JPJ Negeri Sabah, Datuk Haji Mohd Harris Ali berkata, inisiatif yang berlangsung dari 4 hingga 26 Julai itu membolehkan orang ramai menguruskan pertukaran hak milik (THM) setiap Sabtu dan Ahad, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang tanpa perlu menunggu hari bekerja.
“Langkah berkenaan dilaksanakan susulan pengumuman kerajaan bagi memastikan pemilik dan pengguna sebenar kenderaan diesel yang layak dapat melengkapkan proses pertukaran hak milik dengan lebih mudah sekali gus mempercepatkan permohonan di bawah inisiatif BUDI Diesel.
“Kaunter khas tersebut beroperasi di Bahagian Pelesenan Kenderaan, Ibu Pejabat JPJ Negeri Sabah, kesemua 16 pejabat cawangan JPJ di seluruh negeri serta tiga pejabat JPJ UTC di Sabah, dengan JPJ UTC Keningau mula beroperasi pada 12 Julai,” ujarnya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Menurut Hariss, sambutan terhadap inisiatif berkenaan amat menggalakkan apabila sebanyak 885 urusan pertukaran hak milik kenderaan diesel berjaya diproses dalam tempoh 1 hingga 10 Julai.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 733 melibatkan kenderaan jenis pikap manakala 152 lagi membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) atau jip.
“Pencapaian ini membuktikan kesungguhan orang ramai memanfaatkan kemudahan yang disediakan kerajaan selain mencerminkan komitmen jabatan berkenaan dalam memudah cara urusan pertukaran hak milik kenderaan diesel.
“Orang ramai disaran untuk menyemak syarat kelayakan permohonan BUDI Diesel serta memastikan semua dokumen berkaitan disediakan dengan lengkap sebelum hadir ke kaunter bagi melancarkan proses permohonan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pihaknya akan terus mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan yang cekap, efisien dan mesra pelanggan bagi menyokong pelaksanaan inisiatif kerajaan serta memastikan manfaat yang disediakan dapat dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.






