
KUCHING – Taktik seorang pemuda yang bertindak sebagai ejen pertaruhan haram bola sepak sempena kejohanan FIFA World Cup 2026 tumpas selepas ditahan polis di kawasan King Centre, Jalan Simpang Tiga pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching ketika sedang berada di sebuah kedai kopi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki tempatan tersebut giat mencari pelanggan di sekitar kawasan berkenaan bagi menerima pertaruhan perlawanan bola sepak antarabangsa terbabit.
“Dalam operasi tersebut, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan bagi urusan pertaruhan serta wang tunai yang disyaki merupakan hasil aktiviti perjudian.
“Semakan rekod jenayah turut mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis malam.
Jelas Alexson, kes kini disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 kerana disyaki menjalankan aktiviti pertaruhan haram.
Sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM200,000, atau dipenjarakan sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Beliau pada masa sama menasihati orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perjudian haram agar menyalurkannya ke Bilik Gerakan IPD Kuching di talian 082-244444 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.




