BATU PAHAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hanya Kerajaan MADANI berjaya menamatkan kemelut berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang berlarutan lebih 40 tahun selepas isu itu gagal diselesaikan oleh kerajaan terdahulu.
Beliau berkata, kerajaan tetap berpegang teguh terhadap pendekatan menjaga kepentingan bahasa kebangsaan dengan mewajibkan pelajar UEC memperoleh kepujian dalam mata pelajaran itu agar dapat meneruskan pengajian tanpa menafikan hak mempelajari bahasa ibunda.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memaklumkan, polemik UEC yang berlarutan selama empat hingga lima dekad sepatutnya tidak lagi dijadikan modal politik kerana kerajaan pimpinannya telah mengambil keputusan yang mengimbangi kepentingan semua pihak.
“UEC ini kita sudah bergaduh 40 hingga 50 tahun. Sampai bila hendak bergaduh? Kerajaan MADANI yang selesaikan. Dulu orang kata pelajar UEC tidak pandai Bahasa Malaysia. Sekarang anak-anak kita sudah menguasai bahasa itu.
“Sebab itu kita tetapkan syarat mereka mesti mendapat kepujian dalam Bahasa Malaysia. Bagilah peluang mereka mahu belajar bahasa Cina lebih sikit biar lah dia mau belajar Tamil lebih sikit biar tapi dia pandai tak bahasa Malaysia? Mesti pandai,” katanya ketika berucap pada program Yok! Merahkan Johor! Undi Harapan di Banang Jaya, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, keputusan itu bukan dibuat dengan mudah kerana membabitkan perbincangan bersama pelbagai parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan yang memiliki pelbagai pandangan dan saranan sebelum akhirnya secara bersama bersetuju untuk melaksanakan dasar terbabit.
“UEC kita (Kerajaan MADANI) selesaikan. Betul saya cakap. Senang ke? Tak senang. Sebelah kanan saya, Presiden UMNO ,Sebelah kiri saya, GPS tapi saya kata, Ini UEC, sudah sudah kita gaduh.
“Siapa putuskan UEC Kita, Kerajaan mana? Kerajaan MADANI, Kerajaan mana? Sekarang (bagi peluang) PH. Jadi Janganlah. Guna masa election ni jangan gaduh-gaduh,” katanya.



