
MIRI – Penganjuran Taste of Borneo Cultural Carnival 2026 terus menjadi platform penting dalam memartabatkan warisan budaya Orang Ulu serta menyatukan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, festival tersebut merupakan wadah terbaik bagi memperkenalkan kekayaan warisan Borneo kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, Sarawak amat bertuah kerana memiliki kepelbagaian etnik, bahasa, adat resam, seni dan kraf tangan yang membentuk identiti serta keunikan negeri ini.
“Warisan inilah yang perlu terus dipelihara agar tidak luput ditelan arus pemodenan.
“Taste of Borneo menjadi platform yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum, selain menyemai rasa bangga dalam kalangan generasi muda terhadap budaya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian Malam Kebudayaan Federation of Orang Ulu Associations Malaysia (FORUM) sempena karnival tersebut pada Rabu malam.
Dalam pada itu, Gerawat turut merakamkan tahniah kepada Persatuan Cina Sarawak atas inisiatif penerbitan buku Discovering Sarawak Ethnic Crafts yang disifatkan sebagai usaha penting mendokumentasikan khazanah seni etnik tempatan.
Mengulas mengenai kemajuan negeri, beliau menegaskan bahawa pembangunan Sarawak akan lebih bermakna apabila pertumbuhan ekonomi bergerak seiring dengan usaha memelihara identiti budaya dan keharmonian rakyat.
Justeru, beliau berharap Taste of Borneo Cultural Carnival akan terus berkembang sebagai festival bertaraf antarabangsa bagi mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai wilayah harmoni yang kaya dengan kepelbagaian budaya.
Foto: Facebook Datuk Gerawat Gala






