
KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan terus memberi keutamaan kepada pemasangan lampu jalan di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi berlaku kemalangan di seluruh negara bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pendekatan itu diambil susulan kekangan peruntukan yang tidak membolehkan pemasangan lampu dilakukan di sepanjang keseluruhan jalan Persekutuan.
“Kita hanya boleh menumpukan dengan peruntukan yang ada kepada tempat-tempat yang berisiko tinggi kemalangan. Di situlah kita utamakan untuk pemasangan lampu jalan ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjawab isu kekurangan pencahayaan di beberapa laluan jalan Persekutuan, khususnya menuju kawasan rancangan FELDA, yang dilihat kurang terang berbanding sebahagian jalan negeri di Negeri Sembilan.
Alexander berkata, KKR memiliki data lengkap mengenai lokasi strategik yang memerlukan pemasangan lampu jalan, termasuk di kawasan Tampin, bagi memastikan pelaksanaan projek dibuat secara lebih berkesan.
Katanya, kementerian akan terus menggunakan data dan penilaian risiko sebagai asas menentukan lokasi pemasangan lampu jalan mengikut tahap keutamaan serta peruntukan yang diterima dari semasa ke semasa.





