
KUALA PERLIS – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menegaskan keputusannya melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mempunyai kaitan dengan sebarang kemelut politik di negeri ini.
Sebaliknya, beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan dirinya memberi tumpuan sepenuhnya kepada urusan pentadbiran kerajaan negeri terutama ketika penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis berbaki kira-kira setahun.
“Saya telah meletakkan jawatan sebagai Ahli MPT Bersatu namun masih kekal sebagai ahli parti.
“Tidak timbul isu peletakan jawatan ini dikaitkan dengan jawatan Menteri Besar kerana saya hanya mahu memberikan komitmen sepenuhnya kepada pentadbiran negeri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abu Bakar berkata, beliau masih memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Bersatu dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perlis.
Menurutnya, surat peletakan jawatan sebagai Ahli MPT Bersatu telah dihantar kepada ibu pejabat parti pada minggu lalu.
“Keputusan itu dibuat secara baik hasil perbincangan bersama kepimpinan tanpa sebarang tekanan atau perselisihan,” katanya.
Dalam pada itu, Abu Bakar turut menolak dakwaan bahawa peletakan jawatan berkenaan menjadi petunjuk kepada perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau berkata, pentadbiran negeri akan terus berjalan seperti biasa selaras dengan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail supaya kerajaan negeri diteruskan sehingga tamat penggal DUN.
“Perkara ini langsung tidak ada kaitan dengan pentadbiran negeri. Saya akan terus memberikan tumpuan kepada usaha menarik pelaburan, memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) serta merancang pelbagai inisiatif demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan Perlis,” katanya.
Abu Bakar dalam masa sama menepis spekulasi kononnya beliau bakal menyertai parti lain.
Katanya, dakwaan tersebut tidak berbangkit kerana beliau masih terikat dengan Akta Anti Lompat Parti.
Sebelum ini, media melaporkan Abu Bakar bersama seorang Exco kerajaan negeri, Datin Marzita Mansor meletakkan jawatan sebagai Ahli MPT Bersatu dan surat pemakluman berhubung perkara itu telah dihantar kepada kepimpinan parti peringkat pusat.







