
KULAI – Kerajaan memerlukan masa untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu, termasuk isu ekonomi, tadbir urus dan rasuah yang tidak dapat dipulihkan dalam tempoh singkat.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, usaha pembaharuan yang sedang dilaksanakan memerlukan proses berterusan dan tidak boleh dinilai hanya dalam tempoh beberapa bulan atau beberapa tahun.
Katanya, keadaan yang diwarisi selepas puluhan tahun pentadbiran terdahulu tidak mungkin dapat dipulihkan serta-merta kerana ia membabitkan pelbagai aspek yang memerlukan penelitian dan tindakan menyeluruh.
“Perubahan bukan boleh berlaku dalam beberapa bulan, setahun atau dua tahun. Ia memerlukan masa dan proses.
“Apabila kita diberi amanah memimpin, tanggungjawab kita adalah untuk membaiki kelemahan yang telah lama wujud, termasuk isu ekonomi, hutang dan tadbir urus,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Trak sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Dataran Putra, Bukit Batu, di sini, malam tadi.
Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, rakyat perlu memberikan ruang kepada kerajaan untuk meneruskan agenda pembaharuan demi memastikan hasilnya dapat dinikmati dalam jangka panjang.
Pada masa sama, beliau menyeru pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian kerana kuasa menentukan masa depan negeri terletak di tangan rakyat.
“Yang menentukan masa depan Johor bukan Menteri Besar atau golongan tertentu, tetapi rakyat sendiri. Sebab itu saya menyeru semua pengundi mengajak ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan keluar mengundi,” katanya.
Muhammad Kamil juga turut menyatakan keyakinan bahawa calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chong, mampu mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti yang lebih besar berdasarkan prestasi dan komitmen yang ditunjukkan kepada penduduk setempat.





