PONTIAN – Calon Pakatan Harapan (PH), Haniff Hosman terus mempergiatkan usaha mendekati masyarakat apabila mengadakan sesi walkabout di sekitar Pekan Ayer Baloi dengan menyantuni para peniaga, penduduk serta pengunjung yang menjalankan urusan harian di kawasan tersebut.
Menurut calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang itu, pekan Ayer Baloi bukan sekadar pusat perniagaan setempat, malah merupakan nadi kehidupan masyarakat kerana dikelilingi kawasan perumahan serta pelbagai premis yang menjadi tumpuan penduduk setiap hari.
Katanya, kehadiran warung, kedai makan, pasar serta premis perniagaan menjadikan kawasan itu sentiasa meriah dengan aktiviti masyarakat.
“Selain menjadi lokasi penduduk mendapatkan ikan dan makanan laut segar serta meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Setiap kali turun padang, saya bukan sekadar hadir untuk berkempen, tetapi mahu mendengar sendiri denyut nadi rakyat. Pandangan, cadangan dan harapan yang disampaikan oleh penduduk menjadi panduan penting untuk saya memahami keperluan sebenar masyarakat di Pulai Sebatang,” katanya.

Beliau berkata, setiap pertemuan bersama rakyat membuka ruang untuk memahami isu-isu yang dihadapi penduduk sekali gus memperkukuhkan iltizamnya bagi memperjuangkan penyelesaian yang lebih berkesan sekiranya diberikan mandat.
Haniff turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Ayer Baloi atas sambutan yang mesra dan layanan yang diberikan sepanjang sesi walkabout tersebut.
“Saya amat berterima kasih kepada semua warga Ayer Baloi yang sudi meluangkan masa bertemu dan berkongsi pandangan. Sokongan serta kepercayaan yang diberikan menjadi pembakar semangat untuk saya terus bekerja lebih kuat demi masa depan Pulai Sebatang,” ujarnya.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus turun padang menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang, kerana baginya kepimpinan yang berkesan bermula dengan kesediaan mendengar suara rakyat secara langsung.
“Insya-Allah, saya akan terus bersama masyarakat, mendengar setiap suara dan berusaha membawa yang terbaik demi kemajuan N.54 DUN Pulai Sebatang. Johor Ke depan, Undi HARAPAN,” katanya.



