
KUALA LUMPUR – Kerajaan menganggarkan tanggungan subsidi bahan api kekal tinggi iaitu hampir RM3.5 bilion sebulan walaupun harga minyak mentah Brent kini menyederhana pada paras antara AS$70 hingga AS$90 setong.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan kekal komited meneruskan subsidi bersasar bahan api bagi melindungi kebajikan rakyat, di samping mengoptimumkan perbelanjaan negara menerusi pengurusan fiskal yang lebih berhemah
“Kerajaan juga akan memastikan peruntukan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) disalurkan kepada program dan projek berimpak tinggi yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan akan terus mengoptimumkan perbelanjaan mengurus dan menyerap tekanan kenaikan harga melalui pengekalan subsidi bersasar bahan api, selain memastikan perbelanjaan pembangunan memberi manfaat maksimum kepada rakyat,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mengenai keseimbangan antara pelaksanaan subsidi bahan api dan keutamaan projek pembangunan di bawah RMK13 ketika harga minyak dunia masih tidak menentu akibat konflik di Asia Barat.
Akmal berkata, berdasarkan prestasi ekonomi pada suku pertama tahun ini, kesan gangguan perdagangan di Selat Hormuz masih terkawal apabila ekonomi negara berkembang 5.4 peratus, disokong permintaan domestik yang kukuh serta prestasi eksport produk elektrik dan elektronik (E&E).
Beliau turut memaklumkan kadar inflasi kekal terkawal dengan meningkat sedikit kepada 2.0 peratus pada Mei 2026 berbanding 1.9 peratus pada April.
Dalam pada itu, kerajaan akan terus melaksanakan agenda pembangunan negara di bawah RMK13 dengan menyusun semula keutamaan projek, termasuk memberi tumpuan kepada projek yang telah mempunyai komitmen kontrak, projek berskala kecil berimpak tinggi serta program yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Menurutnya, projek yang bertindih, berimpak rendah atau tidak menunjukkan kemajuan memuaskan akan dikaji semula bagi memastikan setiap ringgit perbelanjaan kerajaan dimanfaatkan secara optimum.







