
KUCHING – Tindakan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Amar Dr Sim Kui Hian mengumumkan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan dibidas kerana disifatkan sebagai tidak matang dan melampaui bidang kuasa.
Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif (PDP), Wong Soon Koh berkata, pengumuman bersifat sebelah pihak itu tidak perlu kerana keputusan muktamad berhubung pengagihan kerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) terletak sepenuhnya di tangan Premier Sarawak merangkap Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Wong, langkah bekas rakan partinya itu dikhuatiri hanya akan mencetuskan spekulasi, kekeliruan, dan kebimbangan yang tidak perlu dalam kalangan ahli akar umbi serta rakyat.
“Sebagai ahli utama dalam kepemimpinan GPS dan timbalan premier, Dr Sim sepatutnya lebih memahami semangat perundingan dan konsensus yang sentiasa menjadi panduan dalam GPS.
“Beliau patut menunjukkan teladan dengan memupuk perpaduan antara parti komponen, bukannya membuat kenyataan awam secara sepihak mengenai perkara belum diputuskan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Wong menggesa pemimpin parti komponen GPS agar kembali kepada prinsip kepimpinan kolektif dan mengelakkan pertimbangan politik peribadi daripada menjejaskan kestabilan gabungan itu.
Beliau turut menegaskan keutamaan ketika ini sepatutnya difokuskan kepada usaha memajukan pembangunan Sarawak dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Saya dan pasukan saya akan terus berada di Bawang Assan, mendengar suara rakyat dan berkhidmat kepada kawasan itu dengan penuh dedikasi, seperti yang selalu kami lakukan,” tegasnya.
Terdahulu, Dr Sim ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-12 SUPP Cawangan Bawang Assan secara terbuka menyatakan akan mengemukakan nama Pengerusi SUPP cawangan itu, Kevin Lau kepada Premier Sarawak untuk dipertimbangkan sebagai calon GPS.
Dr Sim menyifatkan Kevin sebagai pemimpin muda yang aktif, mempunyai kemahiran komunikasi yang baik, serta komited dalam memperjuangkan pembangunan di Bawang Assan.
Sebagai rekod, kerusi DUN Bawang Assan disandang oleh Wong sejak 1991 mewakili kawasan itu atas tiket beberapa parti.
Selepas dipecat daripada SUPP pada 2014, beliau telah menerajui Parti Sarawak Bersatu (PSB), sebelum parti berkenaan menyertai PDP secara en bloc pada 2024.





