
MERSING – Komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasa pembangunan belia melalui sukan terus diperkukuh menerusi perasmian Program Sepak Takraw MADANI 2.0 di Dewan Mersing Kecil oleh Menteri Ekonomi, Akmal Nasir.
Akmal berkata, program tersebut menghimpunkan golongan belia dan komuniti setempat dengan objektif menggalakkan gaya hidup sihat serta menjadikan sukan sebagai medium mengeratkan perpaduan dan mendekati generasi muda.
“Platform sukan seperti sepak takraw bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi ruang terbaik untuk membina hubungan lebih rapat antara pemimpin, belia dan masyarakat,” katanya.
Dalam rangka lawatan tersebut, beliau turut menyantuni masyarakat Cina yang menganjurkan Pertandingan Bola Keranjang Terbuka Peringkat Sekolah dan IPT di Mersing. Turut hadir ialah calon Pakatan Harapan DUN Tenggaroh, Md Yusof Dawam.
Sesi santunan itu memberi peluang kepada Md Yusof mendengar secara langsung pandangan dan aspirasi penduduk setempat.
Antara hasrat utama yang disuarakan ialah keperluan membangunkan sebuah kompleks sukan pertama di Bandar Mersing bagi menyediakan kemudahan sukan yang lebih lengkap kepada belia, pelajar dan masyarakat.
Program ini mencerminkan pendekatan Kerajaan MADANI yang mengutamakan penglibatan komuniti serta memastikan setiap suara rakyat didengari dalam usaha membangunkan kemudahan dan kesejahteraan masyarakat.




