
JOHOR BAHRU – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak seharusnya dijadikan medan referendum untuk menentukan nasib mana-mana individu, sebaliknya perlu dilihat sebagai proses demokrasi bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan yang mampu mentadbir negeri dengan lebih baik.
Pemerhati politik, Faiz Ahmad berkata, fokus utama PRN ialah memberi mandat kepada kerajaan yang diyakini mampu membawa pembangunan serta memenuhi keperluan rakyat, bukannya dijadikan platform untuk mempengaruhi proses perundangan melibatkan individu tertentu.
“PRN ini tentang rakyat. Ia bukan mengenai individu atau soal membebaskan seseorang. Rakyat keluar mengundi untuk memilih kerajaan yang lebih baik, bukan menghantar referendum bagi menentukan sama ada seseorang itu patut dibebaskan atau sebaliknya.
“Pilihan raya adalah medan rakyat memilih kerajaan. Menjadikannya sebagai referendum terhadap individu tertentu adalah tindakan yang tidak wajar,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Dialog Terbuka Belia Johor di Dewan Felda Ulu Tebrau.
Mengulas lanjut, Faiz berkata, isu integriti semakin diberi perhatian oleh masyarakat yang kini lebih berpendidikan dan mempunyai akses kepada pelbagai sumber maklumat.
Katanya, walaupun masih terdapat segelintir pihak yang mungkin terpengaruh akibat tidak memperoleh maklumat yang lengkap, majoriti rakyat semakin matang dalam membuat pertimbangan berdasarkan fakta.
“Saya yakin masyarakat Malaysia semakin sedar. Tahap pendidikan semakin baik dan rakyat semakin menilai sesuatu isu secara rasional. Mungkin masih ada yang terlalu taksub, namun masyarakat kebanyakan tidak mudah menerima usaha mempertahankan individu yang telah terbukti bersalah.
“Kita bukan menghina mana-mana pihak. Biarlah proses undang-undang berjalan seperti yang telah diputuskan. Namun, menjadikan PRN sebagai medan untuk membebaskan seseorang melalui referendum adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Beliau turut menegaskan usaha memberi penerangan kepada rakyat perlu diteruskan supaya mereka memahami tujuan sebenar pilihan raya dan tidak terpengaruh dengan naratif yang mengalihkan fokus daripada kepentingan memilih kerajaan.
“Usaha penerangan memang sudah banyak dilakukan dan memberi sumbangan yang baik. Namun, ia masih belum mencukupi dan perlu diperkasakan lagi agar rakyat mendapat maklumat yang tepat sebelum membuat keputusan pada hari pengundian,” katanya.




