Lebih 200,000 pekebun kecil dijamin terus terima bekalan baja

PUCHONG – Briar Resources Sdn Bhd (Briar Resources) memberi jaminan bekalan baja kepada lebih 200,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara tidak akan terjejas walaupun syarikat itu kini berdepan pertikaian kontrak pembekalan dengan pengilang terdahulu.

Pemegang lesen eksklusif formulasi baja milik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu memaklumkan bekalan akan diteruskan menerusi kerjasama dengan pengilang baharu bagi memastikan pelaksanaan Program Baja MADANI berjalan lancar.

Peguam Tetuan Foo Hiap Siong & Co, William Foo berkata, tindakan undang-undang terpaksa diambil selepas syarikat pembekal yang dilantik sejak 2022 didakwa gagal meneruskan pembekalan baja mengikut kontrak yang dipersetujui.

Beliau berkata, gangguan bekalan yang bermula sejak Mac lalu memberi kesan kepada pengedaran baja kepada pekebun kecil dan berpotensi menjejaskan produktiviti tanaman serta pendapatan mereka.

“Bekalan baja didakwa mula tergendala sejak Mac lalu akibat konflik peperangan sehingga menyebabkan pengguna sukar mendapatkan bekalan di pasaran, sekali gus dikhuatiri menjejaskan hasil tanaman dan pendapatan pekebun kecil.

“Namun walaupun kini konflik sudah semakin pulih, syarikat terbabit masih memberi pelbagai alasan untuk membekalkan baja berkenaan.

“Program Baja MADANI diwujudkan bagi membantu mengurangkan kos input pertanian dan bukan untuk kepentingan syarikat semata-mata.

“Tanpa bekalan baja, hasil tanaman akan terjejas sedangkan pekebun masih perlu menanggung kos sara hidup dan kos pengeluaran,” katanya pada sidang media, pada Khamis.

Briar Resources merupakan pemegang lesen eksklusif bagi formulasi baja MPOB F5 Improved yang dipasarkan sebagai Improved 5 di bawah jenama Madani serta MPOB F5 Premium yang dipasarkan sebagai Premium 5.

Formulasi, pengetahuan teknikal dan tanda dagangan kedua-dua produk berkenaan kekal menjadi hak milik MPOB yang memberikan lesen eksklusif kepada Briar Resources untuk pengeluaran dan pemasarannya.

William turut mendakwa pengilang terbabit menghasilkan produk menggunakan pembungkusan berbeza, namun mempunyai ciri yang menyerupai baja asal sehingga menimbulkan isu pelanggaran hak harta intelek.

“Pihak berkenaan menjual baja itu menggunakan pek lain dan dijual dengan harga yang lebih rendah. Ini adalah satu tindakan meniru produk sedia ada.

“Tindakan ini tidak betul kerana ia mencuri harta intelek. Syarikat itu diberi kepercayaan, tetapi mereka menggunakan formula dan melanggar syarat pengeluaran ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Briar Resources, Wayne Lai berkata, syarikat sebelum ini membekalkan antara 1,300 hingga 2,000 tan baja setiap bulan bagi memenuhi keperluan Program Baja MADANI.

Beliau berkata, gangguan pembekalan itu menyebabkan pelaksanaan program yang dirancang sejak Jun 2024 tidak dapat dilaksanakan seperti dijadualkan, sekali gus memberi kesan kepada operasi syarikat.

“Akibat kejadian ini, jadual pelaksanaan dan pelan strategik Program Baja MADANI yang disusun sejak permulaan program pada Jun 2024 tergendala dan akhirnya gagal dilaksanakan sebagaimana yang dirancang.

“Ia sekali gus menyebabkan syarikat rugi, kerosakan reputasi serta kehilangan peluang perniagaan kepada Briar Resources,” katanya.

Pengerusi Eksekutif Briar Resources, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail berkata, keutamaan syarikat ketika ini adalah memastikan pertikaian yang berlaku tidak menjejaskan kebajikan pekebun kecil yang bergantung kepada bekalan baja berkenaan.

Beliau berkata, syarikat sedang mempercepat usaha mendapatkan rakan pengilang baharu supaya pengedaran baja dapat diteruskan tanpa menjejaskan kualiti formulasi asal.

“Sebab itu kita sedaya upaya untuk mengatasi masalah pembekal ini kerana tidak mahu pekebun terjejas. Kita mahu pekebun menerima baja yang sama dengan formulasi yang sama.

“Tindakan saman yang diambil ini adalah langkah terakhir, kerana sebelum ini pihak kami sudah cuba berunding namun tiada sebarang tindakan lanjut diambil oleh pihak sana,” katanya.

Related Posts

Suryady desak tindakan segera tangani isu kekurangan doktor di Sabah

TAWAU – Isu kekurangan pegawai perubatan di Sabah memerlukan penyelesaian menyeluruh dan tidak boleh hanya bergantung kepada penambahan jumlah penempatan di atas kertas, kata Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Jalan baharu Sare-Sentebu mudahkan akses, jimatkan masa perjalanan ke Sarikei

SARIKEI – Penduduk di sekitar Sare bakal menikmati tempoh perjalanan yang lebih singkat ke pusat bandar Sarikei menerusi pembinaan laluan alternatif baharu sepanjang 2.7 kilometer yang menghubungkan Jalan Sare dengan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Suryady desak tindakan segera tangani isu kekurangan doktor di Sabah

  • By Fatin
  • October 7, 2026
Suryady desak tindakan segera tangani isu kekurangan doktor di Sabah

‎Waspada berita palsu, grafik dimanipulasi berkaitan Belanjawan 2027 – Fahmi ‎

  • By Ezmie
  • October 7, 2026
‎Waspada berita palsu, grafik dimanipulasi berkaitan Belanjawan 2027 – Fahmi ‎

Jalan baharu Sare-Sentebu mudahkan akses, jimatkan masa perjalanan ke Sarikei

Jalan baharu Sare-Sentebu mudahkan akses, jimatkan masa perjalanan ke Sarikei

Wartawan Labuan perlu kaki palsu baharu, terima sumbangan Kasih@HAWANA

  • By Ezmie
  • October 7, 2026
Wartawan Labuan perlu kaki palsu baharu, terima sumbangan Kasih@HAWANA

CCTV sekolah berasrama di Perlis fokus kawasan asrama

CCTV sekolah berasrama di Perlis fokus kawasan asrama

KTC lahirkan 256 graduan mahir dalam tempoh 15 tahun

  • By Ezmie
  • October 7, 2026
KTC lahirkan 256 graduan mahir dalam tempoh 15 tahun