
PUTRAJAYA – Tan Sri Azam Baki kekal sebagai anggota Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) sehingga 19 September 2027 berdasarkan pelantikan yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Dalam kenyataan itu, Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, pelantikan Azam bagi tempoh tiga tahun bermula 20 September 2024 dibuat atas kapasiti individu dan bukan berdasarkan jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu.
Beliau menjelaskan, keanggotaan Azam dalam Lembaga Penasihat NFCC tidak terikat kepada kedudukan Azam, sebaliknya kekal berkuat kuasa sehingga tamat tempoh melainkan ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Pelantikan tersebut dibuat atas kapasiti individu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Oleh itu, keanggotaan beliau dalam Lembaga Penasihat NFCC tidak terikat kepada jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan kekal berkuat kuasa sehingga tamat tempoh pelantikan,” katanya.
Menurut beliau, kehadiran Azam pada Mesyuarat Lembaga Penasihat NFCC yang diadakan pada 30 Jun lalu adalah selaras dengan peruntukan Akta 822 kerana beliau merupakan anggota Lembaga Penasihat NFCC yang sah.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan status keanggotaan Azam Baki dalam Lembaga Penasihat NFCC susulan timbul persoalan berhubung penyertaannya dalam mesyuarat berkenaan.




