
BATU PAHAT – Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang meletakkan harapan tinggi kepada calon Pakatan Harapan (PH) Senggarang, Onn Abu Bakar, untuk menjadi pemangkin kepada kemajuan sektor pertanian yang menjadi antara sumber ekonomi utama masyarakat setempat.
Tinjauan The Malaysia Press (TMP) mendapati isu berkaitan kos pengeluaran pertanian, ancaman perosak serta keperluan bantuan kepada golongan petani dan pekebun menjadi antara perkara yang paling mendapat perhatian penduduk menjelang hari pengundian.
Pekebun dan pengundi DUN Senggarang, Devin Lim Wei Ze berkata, kestabilan ekonomi dan harga bahan api amat penting bagi memastikan kos operasi pertanian dapat dikawal dan tidak terus membebankan pengusaha kebun.

Devin berkata, peningkatan kos input pertanian seperti baja dan racun memberi tekanan kepada pekebun kerana kebanyakan bahan berkenaan bergantung kepada pasaran import serta dipengaruhi turun naik harga minyak.
“Sebagai peniaga di DUN Senggarang dan rakyat Malaysia, saya berharap harga minyak dapat kekal stabil kerana ia memberi kesan langsung kepada kos sara hidup dan perniagaan.
“Bagi sektor pertanian pula, kos input seperti baja dan racun semakin meningkat. Keadaan ini memberi cabaran kepada pekebun, terutama apabila kebanyakan barangan tersebut diimport dan terdedah kepada perubahan harga pasaran serta kos bahan api,” katanya kepada TMP selepas Program Santai Calon PH Onn Abu Bakar bersama penduduk setempat di sini, malam tadi.
Isteri Devin, Teh Wee Ting, pula berharap usaha dapat dilakukan bagi mengurangkan tekanan kos yang ditanggung petani dan pekebun demi memastikan harga makanan kekal berpatutan.
“Jika harga baja dan racun terus meningkat, kos pengeluaran hasil pertanian turut bertambah, sekali gus menyebabkan harga sayur-sayuran dan makanan lain menjadi lebih mahal.
“Oleh itu, saya berharap ekonomi negara dapat terus stabil supaya rakyat, peniaga dan pekebun dapat meneruskan kehidupan serta mencari rezeki dengan lebih baik demi menyara keluarga dan anak-anak,” katanya.
Sementara itu, Bekas Ahli Majlis Pimpinan PKR Johor, Malik Faisal Ahmad berkata, majoriti penduduk DUN Senggarang bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan utama, justeru perhatian khusus perlu diberikan kepada pembangunan industri berkenaan.

Beliau berkata, petani dan pekebun di kawasan itu berdepan pelbagai cabaran termasuk serangan haiwan perosak, masalah banjir serta insiden benteng pecah yang menjejaskan tanaman dan hasil pendapatan mereka.
“Majoriti penduduk di DUN Senggarang bergantung kepada sektor pertanian sebagai sumber pendapatan utama. Justeru, saya berharap calon PH, Onn Abu Bakar dapat membawa pembaharuan yang mampu membantu masyarakat setempat, khususnya golongan petani dan pekebun.
“Kita sedia maklum kawasan ini berdepan pelbagai cabaran termasuk serangan haiwan perosak, masalah banjir serta insiden benteng pecah yang berlaku baru-baru ini sehingga menjejaskan tanaman dan mata pencarian puluhan pekebun serta pemilik tanah,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Sulit kepada Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Sani Rasit berkata, sambutan masyarakat terhadap Onn Abu Bakar sepanjang tempoh kempen menunjukkan perkembangan yang positif.

Menurutnya, rekod perkhidmatan Onn sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat yang sering turun padang dan mendengar sendiri permasalahan rakyat menjadi antara faktor yang mendapat perhatian pengundi.
“Beliau sebelum ini telah kerap melaksanakan pelbagai program bersama komuniti peladang dan pekebun selain membantu menyalurkan permohonan bagi mendapatkan peruntukan yang diperlukan.
“Malah, beliau sendiri telah turun meninjau keadaan kebun-kebun yang memerlukan bantuan dan sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi penduduk,” katanya.
Mohd Sani berkata, sekiranya diberi mandat oleh pengundi, Onn berupaya memperjuangkan pelbagai isu melibatkan penduduk DUN Senggarang, khususnya berkaitan pertanian dan pembangunan luar bandar, menerusi peranannya sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat.
Katanya, kelebihan itu membolehkan isu yang dihadapi masyarakat setempat dibawa ke peringkat lebih tinggi bagi mendapatkan perhatian dan penyelesaian yang sewajarnya.






