Sultan Selangor: Kejayaan LRT3 hasil kerjasama pelbagai pihak, bukan milik mana-mana individu

KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah kejayaan merealisasikan projek Laluan LRT3 Shah Alam merupakan hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran, bukannya usaha mana-mana individu atau pihak tertentu semata-mata.

Dalam perutusan hari ini, baginda bertitah projek itu akhirnya berjaya direalisasikan demi manfaat dan kesejahteraan rakyat Selangor, khususnya penduduk di Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya.

“Beta masih ingat, titah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dahulu, Beta telah memaklumkan kepada beliau semasa satu majlis berbuka puasa di rumahnya pada tahun 2015 dan beliau tanpa ragu menerima cadangan Beta itu.

“la susulan keluhan dan rintihan dalam banyak surat yang Beta terima daripada suri rumah mengenai suami mereka yang kerap sampai lewat ke rumah selepas waktu kerja kerana terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan khususnya,” titah baginda.

Titah baginda, ketika itu, Klang hanya mempunyai dua jambatan yang melintasi Sungai Klang menjadikan masalah kesesakan di waktu puncak bertambah buruk.

“Sebagai langkah penyuraian trafik segera, pentadbiran Datuk Seri Najib memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada tahun 2018,” titahnya.

Dalam kenyataan sama, Sultan Selangor turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bersetuju meneruskan projek tersebut dengan mengembalikan semula lima stesen yang sebelum ini dibatalkan, selain merancang pembinaan rumah mampu milik di sekitar laluan LRT3 bagi memberi manfaat kepada rakyat.

“Beta tidak mahu lagi ada mana-mana pihak tertentu mengambil kesempatan untuk mendakwa bahawa kejayaan pelaksanaan LRT3 ini adalah hasil usaha mereka semata-mata.

“Hakikatnya, projek ini merupakan hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor secara keseluruhannya,” titah baginda.

Baginda berharap LRT3 mampu mengurangkan kesesakan jalan raya, menyediakan pilihan pengangkutan awam yang lebih pantas, selesa dan selamat kepada penduduk Klang dan Shah Alam yang berulang-alik ke Kuala Lumpur.

Sultan Selangor turut berharap pihak Prasarana memastikan penyelenggaraan laluan LRT3 dilaksanakan dengan baik agar perkhidmatannya terus beroperasi secara lancar.

Baginda yakin kemudahan infrastruktur itu akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mengukuhkan hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai nadi utama pembangunan negara.

Related Posts

Rakan Niaga SARA kini cecah 14,068 premis seluruh negara

SEMPORNA – Rangkaian Rakan Niaga Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di seluruh negara kini mencecah 14,068 premis setakat 7 Ogos lalu, berbanding kira-kira 700 premis ketika program itu diperkenalkan pada 2024.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Tiada parti lain, hanya PKR jadikan MA63 agenda nasional 

AYER KEROH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah satu-satunya parti yang melihat tuntutan Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai agenda nasional. Presiden PKR, Datuk Seri Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rakan Niaga SARA kini cecah 14,068 premis seluruh negara

Rakan Niaga SARA kini cecah 14,068 premis seluruh negara

Tengku Hassanal terima Sayap Penerbangan TUDM

Tengku Hassanal terima Sayap Penerbangan TUDM

Komuniti perbatasan Limbang diseru jadi mata dan telinga kerajaan

Komuniti perbatasan Limbang diseru jadi mata dan telinga kerajaan

Tiada parti lain, hanya PKR jadikan MA63 agenda nasional 

Tiada parti lain, hanya PKR jadikan MA63 agenda nasional 

PH bersama Bersatu PRN Melaka: Saya tidak tahu, kata Fahmi

PH bersama Bersatu PRN Melaka: Saya tidak tahu, kata Fahmi

PKR tumpu pengukuhan parti, tidak terheret isu DAP

PKR tumpu pengukuhan parti, tidak terheret isu DAP