KUCHING – Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI Diesel disifatkan sebagai kelegaan besar buat pengusaha sektor pertanian secara kecil dan sederhana dalam mengamalkan sistem pengangkutan mandiri.
Pengarah Borneo Institute of Sustainable Food & Agroindustry (BISFA) i-CATS University College, TS Dr Muhammad Norhelmi Ahmad berkata, sektor logistik merupakan nadi bagi industri pertanian.
Katanya, kecekapan rantaian dari bekalan input sehinggalah produk sampai ke meja pengguna amat bergantung kepada sistem pengangkutan dan tenaga.
“Mengambil contoh sektor kelapa sawit, trend terkini menunjukkan petani lebih gemar menghantar hasil ladang ke kilang secara kendiri menggunakan kenderaan pikap berbanding khidmat lori berkapasiti besar.
“Pendekatan ini lebih fleksibel dari segi kekerapan dan kos bahan api,” katanya ketika dihubungi oleh wartawan The Malaysia Press (TMP).

Beliau menjelaskan, penggunaan pengangkutan berkuasa diesel adalah talian hayat bagi petani luar bandar untuk menjual produk pertanian ke kawasan bandar dengan segera.
Jelasnya, ketiadaan kemudahan utiliti yang lengkap menjadikan penyimpanan hasil pertanian sebagai pilihan yang tidak tepat bagi mereka.
“Justeru, kestabilan kos bahan api membolehkan kekerapan perkhidmatan penghantaran dipertingkatkan.
“Langkah ini penting bagi memastikan produk pertanian luar bandar sampai kepada pengguna dalam keadaan segar dan berkualiti terbaik, sekali gus menjamin nilai hasil yang setimpal dengan kerja keras mereka,” katanya
Menurut beliau, sektor pertanian turut memerlukan mekanisasi seperti jentera berat dan mesin berkuasa diesel untuk tujuan penyediaan tapak serta pemprosesan.
“Pemberian BUDI Diesel ini semestinya meringankan bebanan petani kecil agar dapat mengekalkan produktiviti pada kadar yang optimum,” ujar beliau.
Beliau merumuskan bahawa inisiatif BUDI MADANI Diesel ini amat ditunggu-tunggu oleh para petani.
“Ia bukan sahaja memberi ruang kepada mereka untuk mengimbangi tekanan kenaikan kos input pertanian, malah turut meningkatkan daya saing produk tempatan terhadap produk import,” ujarnya.



