
TAWAU – Seorang bayi perempuan berumur 8 bulan memerlukan sumbangan RM250,000 bagi menampung kos pembedahan dan rawatan komplikasi hati (Biliary Atresia) di Hospital Renji, Shanghai, China.
Bapanya, Mohd Hafiz Harith, 31, berkata, anak pertamanya itu, Eileen Zareen dikesan menghidap penyakit tahap akhir ketika usianya 5 bulan selepas terkena ‘portal hypertension’.
Dia berkata, Eileen kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk pemulihan nutrisi dan memerlukan rawatan rapi dari pakar.
“Semasa Eileen di Hospital Tawau, doktor di sana memaklumkan kami yang Eileen tiada rawatan, namun kami membuat keputusan untuk ke PPUM untuk mendapatkan rawatan.
“Doktor sini beritahu kami yang Eileen boleh diselamatkan dengan membuat lembedahan pemindahan hati tetapi kos sangat-sangat tinggi,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.
Kisah ‘Baby Eileen’ yang berasal dari Ranggu itu tular di media sosial dan mendapat perhatian publik yang mempelawa orang ramai untuk tampil menyalurkan sumbangan ikhlas.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 0123 5242 8518 atas nama ibunya, Putriani Yunus dengan meletakkan rujukan ‘Baby Eileen’.





